malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'The 1975' diberi 7 hari bayar RM12.3 juta - Peguam penganjur
ADS

Kumpulan pop rock British “The 1975” diberi tempoh tujuh hari untuk membayar RM12.3 juta (£ 2,099,154.54) atas dakwaan pelanggaran kontrak yang dikaitkan dengan persembahan kontroversi mereka di Malaysia bulan lepas.

Sekiranya kumpulan itu gagal mematuhi surat undang-undang yang dikeluarkan semalam oleh Future Sound Asia - penganjur Good Vibes Asia 2023, yang menyaksikan konsert itu dibatalkan berikutan insiden tersebut - mereka akan dihadapkan ke mahkamah sivil di United Kingdom.

Hari ini, peguam penganjur, David Dinesh Mathew, mengesahkan permintaan berkenaan terkandung dalam Surat Tuntutan (bersamaan UK dengan Surat Tuntutan Malaysia, yang merupakan pendahulu kepada tindakan mahkamah sivil).

“Tuntutan oleh Future Sound Asia pada asasnya ialah The 1975 band telah melanggar kewajipannya di bawah kontrak untuk membuat persembahan.

“Yang penting, wakil penyanyi utama (kumpulan itu) Matt Healy memberi jaminan bertulis sebelum persembahan. Bahawa kumpulan itu akan mematuhi jaminan tersebut, iaitu mereka 'akan mematuhi semua garis panduan dan peraturan tempatan'.

"Ini adalah jaminan bertulis yang diberikan oleh penganjur Future Sound Asia, dan tuntutan itu atas pelanggaran jaminan berkenaan," kata Dinesh.

Peguam itu berkata jika kumpulan itu tidak mengendahkan kata dua tempoh tujuh hari yang diberi, yang berkuat kuasa dari tarikh surat berkenaan semalam, penganjur akan memfailkan tuntutan sivil di mahkamah UK kerana melanggar kontrak.

David berkata agensi kumpulan itu telah diserahkan salinan surat tuntutan tersebut dan mereka menyerahkannya kepada peguam mereka.

Malaysiakini telah menghubungi The 1975 untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkara itu.

Semasa festival di Sepang pada 21 Julai, vokalis "The 1975" Healy dengan marah mengkritik undang-undang Malaysia terhadap komuniti LGBT.

Healy juga berkata dia melakukan kesilapan datang ke negara yang "memberitahu kami dengan siapa kami boleh melakukan hubungan seks" kerana dia tidak menyemak apabila kumpulan itu membuat tempahan konsert di Malaysia.

Healy mencium rakan kumpulan The 1975, Ross MacDonald, semasa di atas pentas.

Tingkah laku biadab

Dia turut dilihat meminum daripada botol dipercayai mengandungi minuman beralkohol ketika kejadian itu. Pada masa yang sama, netizen mendakwa Healy meludah di atas pentas dan merosakkan dron kamera yang dikendalikan oleh krew festival.

Susulan pertemuan dengan penganjur festival itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengarahkan pembatalan serta-merta baki dua hari Festival Good Vibes.

Polis sejak itu melancarkan siasatan berhubung kejadian tersebut selepas menerima tiga laporan polis berhubung "kenyataan dan tingkah laku yang sangat biadab" oleh ahli kumpulan The 1975.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 dan 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Seksyen 504 memperuntukkan kesalahan menghina dengan sengaja atas niat untuk mencetuskan pecah keamanan, yang boleh dihukum dengan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Seksyen 509 adalah kesalahan perkataan atau isyarat yang bertujuan untuk menghina kehormatan seseorang, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil menjenayahkan tingkah laku menghina yang bertujuan atau berkemungkinan mencetuskan pecah keamanan dan boleh dihukum denda sehingga RM100.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen