malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lau disaran bawa jentera sendiri bantu kempen di Bayan Lepas
Diterbitkan:  Aug 5, 2023 11:12 AM
Dikemaskini: 3:12 AM
ADS

PAS Pulau Pinang, kata ketuanya, kini berdepan dengan masalah penggerak untuk membantu calon-calon PN menghadapi lawan masing-masing.

Justeru Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusoff mencadangkan agar calon PN untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas, Dominic Lau, membawa sendiri jentera partinya untuk berkempen di situ.

Kata Fauzi semua calon yang bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) menggerakkan kempen dengan kekuatan jentera masing-masing, dan ia termasuk PAS sendiri.

Jentera PAS juga, tambahnya, perlu dihantar ke kawasan lain sebagai bantuan kepada calon yang bertanding.

“Sekarang masing-masing ber­tanding kena bawa jentera ma­sing-masing, jadi Dominic (Lau) kena bawa jentera dia.

“Kita pun tidak cukup (jentera), malah jentera kita sebenar­nya ada kawasan yang kena bantu juga, jadi siapa yang bertanding dia kena ketuai jentera di situ dan bawa jentera masing-masing," katanya seperti dipetik Utusan Malaysia di George Town hari ini.

Lau merupkan salah seorang calon PN yang paling banyak menarik perhatian dalam PRN kali ini apabila terkait dengan kontroversi ekoran pembabitannya di Bayan Lepas.

Ia merupakan kerusi DUN yang disasarkan PAS sejak awal namun parti itu terpaksa akur dengan keputusan pucuk pimpinan apabila Lau dinamakan sebagai calon.

Antara lain PAS membantah kerana kerusi terbabit merupakan kawasan majoriti Melayu.

Bagaimanapun semalam PAS Pusat mengeluarkan arahan agar penggerak parti di Pulau Pinang menghentikan bantahan mereka, sebaliknya memberikan bantuan kepada Lau.

PAS Pulau Pinang sudah mengeluarkan kenyataan untuk akur terhadap arahan tersebut dan berjanji untuk menjernihkan kembali hubungan mereka dengan Lau serta Gerakan ekoran insiden di Tasek Gelugor beberapa hari lalu.

Fauzi berkata antara cara memulihkan hubungan tersebut ialah mengadakan pertemuan dengan ahli parti serta masyarakat setempat.

Langkah itu katanya akan dijalankan secara "cermat".

“Murnikan keadaan itu ma­cam kita akan bertemu dengan semua ahli, masyarakat akan pastikan semua benda dengan baik.

"Kita tengok cara macam mana akan bincang, tengok apa yang sesuai dengan keadaan dan apa yang PAS Pusat arahkan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen