Pasar Kedai Payang satu lokasi ikonik di Terengganu sentiasa menjadi tumpuan pelancong, kerana menghimpunkan pelbagai barangan di bawah satu bumbung, namun keadaan itu dijangka berubah sekali gus meresahkan peniaga di situ.
Keresahan itu timbul, susulan pengumuman kerajaan negeri yang dikatakan selepas pembukaan kompleks baharu, tapak sementara yang digunakan peniaga pada masa ini akan terus beroperasi, sekali gus akan mewujudkan dua Pasar Kedai Payang, manakala jualan di setiap kompleks akan diasingkan mengikut kategori.
Peniaga produk makanan, Ara Sidek, 56, berkata perkara tersebut mengejutkan peniaga, sementelah dijanjikan bahawa kesemua peniaga yang dipindahkan ke premis sementara sebelum ini, akan dihimpunkan kembali di bawah satu bumbung di kompleks baharu kelak.
“Dulu lain yang disebut, sekarang lain yang kedengaran. Katanya kompleks baharu itu fokus kepada jualan produk batik dan kraftangan, dengan idea mahu dijadikan pusat beli belah. Saya tidak setuju. Kalau nak tengok pusat beli belah, di luar sana pun ada, pengunjung datang sini sebab mahu rasa aura pasar ini.
“Saya juga pernah lihat apa yang berlaku, apabila ada dua pasar dibina bersebelahan. Saya tidak mahu sebut pasar apa, tapi dengan mata saya sendiri saya lihat pengunjung tidak pergi ke kedua-dua pasar tersebut. Salah satu akan alami kerugian dan tidak hidup, maka dalam hal ini, peniagalah yang akan terjejas teruk,” katanya yang sudah 25 tahun berniaga di situ.
Bagi Dahiyah Zulkifli, 24, yang menjual produk batik di situ, sememangnya beliau teruja apabila bakal berpindah ke kompleks baharu yang dilengkapi fasiliti lebih baik, namun berasa ralat dengan 'perpisahan' itu kerana baginya identiti Pasar Kedai Payang, akan luntur jika diasingkan jenis perniagaan kelak.
“Kami sudah lama meniaga bersama-sama. Saya jual batik, kawan saya jual produk makanan, barang basah dan sebagainya, jadi seronok bila semua berkumpul bawah satu bumbung. Kalau diasingkan, sudah tentu lain benar rasanya nanti, bukan sahaja kepada pengunjung, tetapi kepada peniaga.
“Selain itu, isu parkir juga akan menjadi antara yang lebih memburuk kalau betul ada dua Pasar Kedai Payang nanti. Buat masa sekarang ini pun ramai pengunjung mengadu sukar untuk dapatkan parkir di kawasan berdekatan,” katanya.
Peka dengan isu tersebut, calon Barisan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berharap, kerajaan negeri Terengganu yang baharu nanti akan mempertimbangkan semula keputusan tersebut, demi kepentingan peniaga dan pengunjung pasar berkenaan.

Beliau berkata perancangan awal projek yang bermula ketika beliau menjawat jawatan Menteri Besar dahulu ialah selepas pasar asal siap dibaik pulih sepenuhnya, pasar sementara yang beroperasi ketika ini akan dinaik taraf untuk dijadikan pusat konvensyen, sebagai alternatif sokongan menampung operasi kompleks pasar baharu.
“Kompleks baharu ini, akan lengkap dengan pelbagai kemudahan, termasuk memasang pendingin hawa untuk keselesaan semua. Ini tentunya akan tingkatkan kos namun kita tidak mahu bebankan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Jadi, dengan adanya pusat konvensyen itu nanti, ia akan bantu tampung kos operasi dan ringankan beban kewangan PBT. Tetapi, apabila kerajaan negeri ketika ini buat keputusan untuk adakan dua buah pasar, adakah PBT mampu untuk selenggara dua premis ini?
“Kita tahu sewa tidak mahal... dan sudah tentu kita tidak mahu bebankan peniaga (dengan naikkan kadar sewa),” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan akan berlakunya projek 'gajah putih' kedua, merujuk kepada senario sama yang berlaku kepada Bazar Warisan di Kuala Terengganu, kerana orang ramai terus berkunjung ke premis lama sekali gus menyebabkan premis baharu 'sunyi sepi' dan terbiar.
“Sebab itulah saya berpandangan elok gunakan rancangan asal untuk pindahkan semua ke sini (kompleks baharu)...dalam masa sama boleh jadikan pasar sementara sebagai pusat konvensyen untuk tampung segala kos, kerana kita nak pasar baru ini jamin keselesaan peniaga dan pengunjung,” katanya.
Baru-baru ini Datuk Bandar Kuala Terengganu Rosli Latif, mengumumkan projek baik pulih yang menelan kos RM69.3 juta itu hampir selesai dan kompleks baharu itu, akan dibuka kepada pengunjung hujung tahun ini.
Ia sepatutnya menjadi sebuah berita gembira, namun ternyata majoriti peniaga ketika ditemui di pasar berkenaan, menyuarakan hal yang sebaliknya ekoran pemakluman luar jangka bahawa akan wujud dua pasar di situ.
- Bernama

