malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lelaki maut dipijak gajah
Diterbitkan:  Aug 3, 2023 1:30 PM
Dikemaskini: 5:43 AM
ADS

Seorang lelaki berusia 42 tahun meninggal dunia akibat dipijak gajah dalam kejadian di Lojing, Gua Musang, semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintenden Sik Choon Foo berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu mangsa bersama seorang rakan dalam perjalanan ke sungai di sebuah ladang kelapa sawit di Lojing, untuk memancing dan terserempak dengan dua ekor gajah.

Menurutnya, kedua-dua mereka terkejut dan terjatuh daripada motosikal apabila melihat kehadiran gajah berkenaan.

"Rakan mangsa berjaya lari untuk menyelamatkan diri. Selepas dua ekor gajah tersebut meninggalkan tempat kejadian, dia kembali ke lokasi itu dan mendapati mangsa berada dalam kawasan semak serta mengadu kesakitan.

"Dia membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Pos Brooke untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sik berkata, polis kemudiannya dihubungi pegawai kesihatan memaklumkan mengenai kematian mangsa.

"Pegawai kesihatan mengesahkan mangsa meninggal dunia pada jam 4.45 petang. Pemeriksaan fizikal ke atas mangsa mendapati terdapat kesan lebam dan luka di sebelah pinggang kiri dipercayai dipijak oleh gajah.

"Hasil bedah siasat juga konsisten dengan keteranagn kejadian dan saksi bahawa mangsa meninggal dunia akibat dipijak gajah. Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) kerana tiada sebarang unsur jenayah ditemui.

"Pihak polis mengingatkan agar mana-mana individu tidak membuat sebarang spekulasi dan menghormati privasi keluarga mangsa," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen