malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sanusi: Anwar bawa hartawan Indonesia ke Kedah urusan REE
ADS

Menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah membawa hartawan Indonesia ke negeri itu untuk tujuan memohon melombong di kawasan unsur nadir bumi (REE).

Sanusi membuat dakwaannya semasa sesi ceramah Perikatan Nasional di Pedu malam tadi.

Malaysiakini tidak menyiarkan nama hartawan Indonesia itu tetapi difahamkan individu terbabit adalah pemain industri minyak dari negara jiran.

Sanusi mendakwa kedua-dua mereka telah melawat Kedah sebelum Parlimen dibubarkan tahun lepas.

Dia kemudian mendakwa lelaki warga Indonesia itu telah membuat permohonan untuk melombong di kawasan REE di negeri Kedah sebelum pembubaran DUN.

“Ada orang hubungi saya dia nak beri lembu korban berapa ratus ekor tak tahulah. Aku tak mahu pasal nak pilihan raya. Aku takut lembu tu jadi rasuah. Saya tak ambil lembu korban tu tuan," katanya.

Sanusi, yang juga pengarah pilihan raya PN, juga mendakwa bahawa penglibatan Anwar dan hartawan Indonesia itu menjadi antara faktor Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail untuk terus "menyerangnya" .

“Patutlah Pudin (Saifuddin) ni 'pulun' (bersungguh-sungguh) sangat.

“Mereka korek macam-macam bagi masyarakat pening. Jalan ceritanya supaya orang benci Sanusi, benci PN dan ingin tunjuk kelemahan tadbir urus dan tatakelola. Yang tak faham tatakelola ini Pudin," tambahnya.

Tegasnya, dia mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin memohon lombong di kawasan REE asalkan membawa pulangan kepada kerajaan negeri Kedah dan rakyatnya.

Kecurian REE di Sik

Saifuddin, yang juga setiausaha agung PKR, membuat dakwaan sepanjang kempen di Kedah mengaitkan Sanusi dengan dakwaan kecurian REE di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik.

Sanusi menafikan dakwaan itu dan mengancam untuk menyaman Saifuddin, tetapi menteri itu tetap dengan dakwaannya dan terus membuat pendedahan lanjut mengenai isu itu.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail

Dalam sidang media semalam, Saifuddin mendedahkan gambar Sanusi dan seorang warga China yang dikehendaki berhubung kes kecurian sumber nadir bumi di Kedah.

Orang yang dinamakan oleh Saifuddin semalam adalah seorang daripada dua warga China yang sering dirujuk dalam ucapannya, yang didakwa diambil bekerja oleh Menteri Besar Diperbadankan (MBI) Kedah untuk menjalankan kerja-kerja penerokaan unsur nadir bumi.

Seorang daripada mereka dikatakan ditangkap menceroboh hutan simpan dengan lebih 380 beg bijih nadir bumi, manakala satu lagi - yang dirujuk oleh Saifuddin semalam - tidak dapat dikesan.

Malaysiakini tidak menyiarkan nama-nama suspek kes jenayah yang bukan tokoh awam, sementara menunggu pertuduhan rasmi dibuat.

Sanusi sejak itu mengaku bertemu seorang warga China yang merupakan suspek yang dikehendaki.

Bagaimanapun, dia menegaskan urusan warga China itu dengan Pejabat Tanah dan Galian Kedah dan MBI negeri dan dia tidak terlibat.

Sanusi memberitahu Malaysiakini bahawa lelaki itu memiliki syarikat tenaga solar yang menjalinkan usaha sama dengan MBI dan telah berada di Malaysia sebelum dia menjadi menteri besar pada 2020.

“Saya tidak ingat berapa kali kita berjumpa. Yang saya ingat pernah berada di pejabat saya dan sekali di rumah terbuka Hari Raya,” katanya ketika dihubungi.

Malah semasa pertemuan itu, Sanusi menunjukkan terdapat halangan bahasa yang ketara kerana suspek tidak berbahasa Melayu atau Inggeris.

Bagaimanapun, ketika bercakap kepada pemberita mengenai kempen itu, Sanusi dipetik sebagai menyatakan bahawa warga China itu membawa seorang jurubahasa bersama.

“(Mereka) mai (datang) explain (jelaskan) kat saya, syarikat itu telah habis RM30 juta duit dok di Malaysia lobi projek (REE) dan bayar kepada MBI pada masa itu sekurang-kurangnya RM5 juta.

“Jadi, saya suruh dia teruskan. Buat apa sahaja yang perlu dilakukan tetapi pastikan ia mengikut undang-undang,” katanya seperti dilapor media.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen