malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS harap sokongan Dr M dapat bersihkan 'kesilapan silamnya'
ADS

Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah berharap keputusan Dr Mahathir Mohamad untuk memberikan sokongan kepada PN dapat membersihkan apa yang disifatkan sebagai "kesilapan-kesilapan" silam bekas perdana menteri itu.

Mohd Amar berkata, setiap orang ada sejarah sendiri dan boleh diterima jika individu itu sudah berubah.

“Semua orang ada sejarah. Kalau diambil dalam sejarah Islam, ramai orang yang masuk Islam ada masalah sebelum (peluk) Islam, lawan nabi.

“Tapi selepas pembukaan Kota Mekah, Abu Sufian masuk islam, Wahsyi masuk Islam, (sebelum masuk Islam) dia bunuh bapa saudara nabi, Hamzah Abu Mutalib,” katanya kepada media selepas program Munajat Rakyat dan Pakat Pertahan PAS Kelantan di Kota Bharu, malam tadi.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemunculan kali pertama Mahathir - pemimpin yang ada perseteruan lama dengan PAS sepanjang kerjaya politiknya - di pentas ceramah PAS semalam.

Mahathir dalam ucapannya di depan ribuan penyokong PN di Stadium Sultan Muhammad IV, menyeru pengundi agar memberi kemenangan kepada PN dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri 12 Ogos nanti.

“Saya harap dapat sapu bersih. Kita semua orang Melayu, ramai yang berkata orang Melayu berpecah dan tak mungkin bersatu, tapi malam ini dapat lihat pemimpin parti-parti Melayu berkumpul di sini kerana nak memperjuangkan nasib dan masa depan negara.

“Tidak mudah kita nak serahkan kepada orang lain kerana kita juga ada kebolehan untuk mentadbir. Suatu masa dulu kita digelar ‘harimau Asia’, hari ini sudah jadi ‘kakistokrasi’,” katanya yang menyifatkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim sebagai kerajaan kakistokrasi.

Turut hadir pada program Malam Munajat Pakat Pertahan PAS Kelantan itu Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan barisan kepimpinan PN peringkat pusat dan negeri.

Sementara itu Mohd Amar berkata semua pihak perlu menerima kehadiran Mahathir yang dilihat sudah berubah.

“Kerana dia sudah berubah kita terimalah, sejarah itu nak buat macam mana.

“Jadi kita harap dengan kemasukan bersama dengan kita ini dia boleh membersihkan kesilapan-kesilapannya yang lepas, kita harap begitu,” katanya lagi.

Lihat Komen