malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bahaya, Anwar tak tahu apa dia tandatangan - Muhyiddin
Diterbitkan:  Jul 20, 2023 11:23 PM
Dikemaskini: 3:54 PM
ADS

Bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin telah mengarahkan peguamnya untuk meneruskan saman fitnah terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Ini katanya selepas Anwar gagal mendedahkan dokumen berkenaan pelupusan hutang peneroka Felda, sebaliknya mengemukakan dokumen membabitkan penerbitan sukuk.

"Saya pun pernah berkali-kali menjelaskan sebelum ini bahawa dokumen yang Anwar tandatangan itu adalah berkenaan sukuk bukan pelupusan hutang peneroka Felda.

"Pendedahan dokumen itu membuktikan saya bercakap benar. Yang berbohong dan fitnah saya ialah Anwar," katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Terdahulu, Anwar hari ini mendedahkan sebahagian dokumen yang didakwa membuktikan dia telah menandatangani skim pelupusan hutang untuk peneroka Felda.

Dokumen itu ialah Akaun Rizab Perkhidmatan Kewangan (FSRA), serta penerbitan sukuk.

Justeru Anwar mendesak Muhyiddin memohon maaf atas fitnah yang dilemparkan kepadanya.

Bagaimanapun Muhyiddin berkata kenyataan media Kementerian Kewangan itu mengesahkan ia adalah jaminan kerajaan sebanyak RM9.9 bilion dan bukan pelupusan hutang peneroka sebanyak RM8.3 bilion yang diselesaikan pada tahun 2021.

‘Tak faham apa yang ditandatangani’

Malah, katanya, dokumen sukuk yang didedahkan juga menunjukkan Anwar tidak memahami kandungan dokumen yang ditandatanganinya sebagai Menteri Kewangan.

"Ini bahaya. Entah apa lagi dokumen atau perjanjian yang dia tandangan atas kapasitinya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan yang dia tidak faham atau tidak tahu isi kandungannya.

"Jelas Anwar tidak layak (incompetent) untuk kekal sebagai perdana menteri. Lagi lama Malaysia ditadbir oleh kerajaan Madanon Anwar Ibrahim, lagi besar mudaratnya kepada rakyat,” kata Muhyiddin.

Ketika berucap pada majlis sambutan Hari Peneroka Felda di Serdang pada 7 Julai lalu, Anwar mendakwa pengumuman mengenai pemansuhan 80 peratus hutang peneroka Felda yang dibuat kerajaan terdahulu tidak disertai sebarang kelulusan.

Sebaliknya, kata Anwar, kerajaan PN pimpinan Muhyiddin hanya membuat pengumuman pelupusan hutang berjumlah RM8.3 bilion tersebut.

Muhyiddin bagaimanapun menyangkal kenyataan Anwar itu dan menyifatkannya sebagai pembohongan besar.

Dia juga memetik jawapan parlimen daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said pada 23 Feb bahawa pelupusan hutang itu sudah dilaksanakan pada 2021 walaupun tidak dilakukan secara berterusan akibat masalah aliran tunai.

Namun, Anwar mengulangi dakwaannya pada hari berikutnya, dengan mengatakan tiada peruntukan dalam belanjawan persekutuan 2021 dan 2022 untuk melupuskan hutang RM8.3 bilion itu.

Hal itu mendorong Muhyiddin mengeluarkan surat tuntutan, menuntut perdana menteri membuktikan dakwaannya serta memohon maaf dalam tempoh 24 jam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen