Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan menggesa pemimpin dan wakil rakyat agar membuang prejudis mereka dan menghentikan tanggapan stereotaip bermasalah jika ingin melihat kesatuan dan toleransi kaum.
"Suatu ekspresi itu mungkin dianggap sebagai 'jenaka', tetapi kita mesti ingat yang kata-kata dan ekspresi ada maksudnya.
"Maksud itu mungkin berbeza bergantung kepada sejarah komuniti (yang dikaitkan)," ciapnya di Twitter hari ini.
Walaupun tidak menyebut mana-mana nama secara khusus, ahli parlimen DAP itu dipercayai merujuk kepada kenyataan bernada perkauman oleh penyandang DUN Kota Anggerik dari PKR, Mohd Najwan Halimi terhadap Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan seorang calonnya.
Semalam, Najwan menulis "parti India estet" sebagai respons terhadap berita pengumuman PSM bahawa parti itu meletakkan aktivis sosial Sivaranjani Manickam di Meru untuk pilihan raya Selangor.
Najwan telah memohon maaf dan mengakui kenyataannya tidak wajar serta berikrar akan lebih berhati-hati dengan kata-katanya pada masa akan datang.
Mengulas lanjut, Syahredzan berkata sesuatu yang danggap sebagai "tiada apa-apa" oleh mana-mana pihak boleh dilihat sebaliknya oleh pihak yang lain.
"Apa yang kita kata secara jenaka sebenarnya mengukuhkan peminggiran dan diskriminasi terhadap masyarakat tertentu sejak sekian lama.
"Langkah pertama ke arah penerimaan adalah memahami hal ini. Sebagai pemimpin, kita perlu menunjukkan teladan yang baik jika kita benar-benar mahu menyatukan masyarakat kita," katanya lagi, sambil menegaskan ia adalah peringatan terhadap dirinya dan ahli politik yang lain.
Sementara itu, Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad turut membuat ciapan yang dipercayai merujuk perkara sama.
"Ketika kita kutuk pihak lawan bermain 3R (kaum, agama, istana), kita sendiri jangan terjerat dengan permainan sama.
"Pimpinan wajib gambarkan semangat Malaysia Madani," katanya.

