malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lagi laporan polis dibuat ke atas Sanusi
Diterbitkan:  Jul 14, 2023 2:58 PM
Dikemaskini: 6:58 AM
ADS

Beberapa ahli PKR membuat laporan polis terhadap menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kenyataan yang dibuatnya baru-baru ini dan didakwa menghina Sultan Selangor.

Sekurang-kurangnya tiga kumpulan telah memfailkan laporan mereka terhadap pemimpin kanan PAS itu di balai polis Petaling Jaya dan Shah Alam semalam.

Ketua Penerangan PKR Shah Alam Suryamuizzudin Kamarudin yang terlibat dalam salah satu laporan itu mendakwa ceramah politik tidak seharusnya dijadikan platform untuk menghina institusi diraja.

Semalam, Ketua Polis Negara Razarudin Hussain berkata polis sudah memulakan siasatan terhadap Sanusi dan dikendalikan pasukan petugas khas yang memfokuskan kepada isu raja, agama dan perkauman (3R).

Baru-baru ini Sanusi didakwa menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah semasa memilih Amirudin Shari semasa memilih menteri besar Selangor.

Dalam rakaman ucapan itu - yang tular di media sosial - Sanusi membandingkan Sultan Kedah dan Selangor, selain menganggap Amirudin sebagai tokoh cokia (lekeh) untuk dijadikan menteri besar.

Dalam perkembangan berkaitan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng turut membuat laporan polis terhadap Sanusi hari ini berhubung dakwaan masyarakat bukan Islam merupakan kelompok majoriti yang ditangkap kerana memberi serta menerima rasuah.

Dalam laporannya, Lim menyifatkan kenyataan pengarah pilihan raya PN itu sebagai rasis dan menghasut.

“Saya harap polis tidak membuang masa dan mengambil tindakan undang-undang (terhadap Sanusi) dengan pantas,” kata pemimpin DAP itu dalam satu kenyataan.

Untuk rekod dalam salah satu episod podcast Keluar Sekejap kendalian Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan, Sanusi mendakwa terdapat data yang menunjukkan orang bukan Islam merupakan sebahagian besar daripada mereka yang ditangkap kerana memberi.

Dia berkata demikian ketika ditanya bagaimana PN bercadang untuk meraih sokongan daripada bukan Islam pada pilihan raya negeri akan datang apabila salah seorang pemimpinnya - Presiden PAS Abdul Hadi Awang - sebelum ini menuduh bukan Islam dan bukan bumiputera sebagai punca rasuah.

Abdul Hadi membuat tuduhan itu pada Ogos tahun lalu sebelum disokong oleh seorang pemimpin PAS dengan memetik "tinjauan" oleh sebuah universiti tempatan.

Walaupun kajian yang dirujuk itu mendapati 73.4 peratus daripada pemberi rasuah yang disabitkan kesalahan adalah bukan Melayu, data berkenaan penerima rasuah pula menunjukkan sebaliknya.

Menurut individu utama yang terlibat mengendalikan kajian itu Christine Chong Siew Pyng, kira-kira 82 peratus pesalah yang disabitkan menerima rasuah ialah Melayu.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen