Dr Mahathir Mohamad mendedahkan, kekalahannya di kerusi parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu adalah disebabkan amalan rasuah.
“Saya pernah bertanya salah seorang pengundi di sana (Langkawi) yang juga kawan saya, kenapa kamu tidak undi saya, dia jawab saya tidak beri dia duit.
“Saya tanya lagi, berapa duit dia dapat, dia jawab RM100. Saya tanya dia, apa boleh buat dengan RM100 dan dia jawab duit itu boleh dibelanja untuk dua hari.
“Pada pilihan raya lalu, saya hilang lebih 14,000 undi hanya kerana rasuah,” katanya yang dipetik oleh portal Utusan Online, malam semalam.
Bekas perdana menteri sebanyak dua kali itu ditemui selepas menyempurnakan majlis penutup Program Kepimpinan Perusahaan Kecil dan Sederhana di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya.
Mengulas lanjut, Mahathir berkata, pengundi seharusnya lebih bertanggungjawab terhadap negara dan tidak tunduk kepada politik wang.
“Jangan buang undi sebab kamu dapat duit (rasuah),” nasihatnya kepada pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti.
Pada PRU 2022, Mahathir yang menerajui Pejuang selepas disingkirkan oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin bukan sahaja tewas di parlimen Langkawi, malah turut kehilangan wang depositnya.
Dia sekadar meraih sebanyak 4,566 undi.
Kerusi tersebut telah dimenangi oleh calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Suhaimi Abdullah dengan 25,463 undi.
Terdahulu, pada PRU14 lalu, Mahathir yang bertanding atas tiket PKR menang di Parlimen tersebut dengan majoriti sebanyak 8,896 undi.
Bagaimanapun pada Jun lalu, dia berkata parti politik yang menandatangani Proklamasi Melayu semuanya bersetuju untuk menyokong PN yang diterajui oleh PAS dan Bersatu dalam PRN akan datang.
Pada masa sama, Mahathir juga dilaporkan bersedia mencabar mana-mana pihak untuk membuktikan bahawa dia pernah terpalit dengan amalan rasuah.
“Orang cakap saya juga pernah terbabit rasuah, buktikan perkara itu. Saya terbuka dalam hal itu dan anda boleh geledah mana-mana jabatan untuk siasat perkara itu.
“Jangan cuba merendahkan saya dengan mengaitkan saya cuba lawan rasuah, sedangkan saya pun terbabit rasuah. Itu satu dakwaan yang jahat,” katanya lagi.