malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bayaran pencen dikeluarkan ikut amaun asal, kata PM
ADS

Kerajaan memutuskan supaya pencen dan pencen terbitan bagi Julai hingga Dis ini dibayar menggunakan amaun asal.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata ia selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan Seksyen 3 dan 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 tidak sah, dan undang-undang sebelum pindaan terpakai dengan sendirinya bagi tujuan penyelarasan pencen.

Anwar berkata ia menyaksikan bayaran pencen bagi pegawai awam yang bersara sebelum 2013 dikembalikan kepada amaun Dis 2012 manakala pegawai awam yang bersara mulai 2013, bayaran dikembalikan kepada amaun asal semasa bersara.

“Perbezaan amaun pencen semasa dengan amaun pencen asal terus dibayar dalam bentuk bantuan khas yang dinamakan sebagai Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) bagi menjadikan amaun yang diterima oleh pesara sama seperti amaun pencen semasa iaitu amaun pencen pada Jun 2023.

"Kerajaan sentiasa menghargai sumbangan pesara semasa berkhidmat dan prihatin dengan kebajikan pesara dalam keadaan dan situasi sekarang.

"Oleh itu, kerajaan juga akan mengkaji semakan gaji perkhidmatan awam dan ia akan turut melibatkan pesara-pesara perkhidmatan awam," menurutnya dalam kenyataan semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata penyelarasan pencen akan dilaksanakan mengikut peratusan kenaikan yang ditetapkan selaras dengan Akta Penyelarasan Pencen 1980.

Dia berkata ketetapan itu diputuskan dalam mesyuarat kabinet semalam yang diharap dapat memberikan impak positif kepada kakitangan awam, para pesara perkhidmatan awam dan kerajaan.

Pada 27 Jun lepas Mahkamah Persekutuan memutuskan pindaan undang-undang pada 2013 yang memperkenal skim pencen baru dan melaraskan bayaran pencen setiap tahun dengan kenaikan dua peratus sebagai kurang menguntungkan pesara dan tidak berperlembagaan.

Pada 6 Julai lepas Anwar berkata kerajaan akan mengumumkan mekanisme khas berkaitan pencen penjawat awam susulan keputusan tersebut.

Sebelum ini Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon Jabatan Perkhidmatan Awam tidak menuntut semula bayaran kenaikan pencen sebanyak dua peratus yang dilaksanakan sejak 10 tahun lepas kerana ia sudah dinikmati oleh pesara.

Jumlah yang diberikan juga, kata kesatuan itu, tidak terlalu besar kerana kebanyakan penerima adalah dalam kalangan B40 dan M40.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen