malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Liputan internet kuat mampu bantu peneroka Felda
Diterbitkan:  Jul 12, 2023 8:50 AM
Dikemaskini: 12:50 AM
ADS

Perkhidmatan internet pantas atau capaian rangkaian 5G di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan membantu peneroka memasarkan produk mereka, kata pengerusinya, Ahmad Shabery Cheek.

Katanya perkhidmatan internet pantas dapat meningkatkan ekonomi digital seperti membantu peneroka memasarkan produk dalam dan luar negara serta turut terlibat dalam e-dagang.

“Internet merupakan perkara yang sangat penting. Kalau kita hendak memajukan Felda pada masa akan datang, internet itu harus kuat (pantas),” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk Transformasi Felda Memakmurkan Peneroka terbitan Bernama TV malam tadi.

Bagi tujuan itu, Ahmad Shabery turut melakukan lawatan ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Khamis lalu bagi membawa agenda mentransformasi Felda.

“Saya nak beritahu mesejnya ialah saya tidak mulakan dengan lawatan ke ladang kelapa sawit atau ladang getah dan sebagainya, walaupun lawatan seperti itu merupakan sebati dengan masyarakat peneroka, tetapi masa depan bagi Felda ialah internet serta ia khusus untuk anak-anak Felda generasi 5.0,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan MCMC komited untuk memperbaiki perkhidmatan Internet di kawasan Felda bagi memastikan kesalinghubungan digital di kawasan berkenaan ditingkatkan.

Bagi menjadikan sektor perladangan lebih efisien, Ahmad Shabery berkata kekuatan internet juga akan menyumbang kepada kegunaan teknologi baru.

“Suatu masa nanti setiap pokok ada sensor dan peneroka dapat mengetahui berapa tan yang boleh diproses dalam masa nyata (real time). Ini yang kita dapat fikirkan untuk pasaran masa depan negara,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen