malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Terlalu awal buat kesimpulan tiada rasuah dalam insiden KLIA - Azam
Diterbitkan:  Jul 8, 2023 9:04 PM
Dikemaskini: 1:04 PM
ADS

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai siasatan berhubung insiden membabitkan pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Bernama melaporkan Azam merujuk laporan sebuah portal berita yang memetik sumber yang mendakwa siasatan mendapati tiada unsur rasuah dalam insiden itu yang turut membabitkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing.

Laporan berita itu bagaimanapun telah diturunkan.

"Pihak media diharap tidak mensensasikan (isu kekecohan di KLIA) dengan memetik sumber tidak berkenaan… Ini (membuat kesimpulan kes) terlalu awal kerana (SPRM) baharu sahaja memulakan siasatan, terdapat saksi-saksi yang perlu kita panggil dan kumpulkan keterangan.

"Kita mahukan siasatan terperinci dan akhir nanti apabila selesai, kita akan kemukakan kepada pihak Pendakwa Raya atau Peguam Negara… di situ baru boleh tentukan ada kes atau elemen (rasuah) atau sebaliknya,” katanya kepada Bernama.

Azam berkata SPRM juga akan menjalankan siasatan terhadap pihak yang bertanggungjawab menguruskan warga asing yang dikenakan perintah Not-To-Land (NTL).

Pada Rabu lalu, Azam berkata badan pencegah rasuah itu telah merekodkan keterangan daripada sekurang-kurangnya 14 individu termasuk Tiong, dua warga China dan lapan pegawai imigresen.

Tiong pada kira-kira jam 3 pagi pada 29 Jun memasuki kaunter imigresen KLIA selepas dimaklumkan bahawa seorang warga China dilarang memasuki negara ini.

Tiong kemudian mendakwa usaha "menyelamatkan" wanita itu telah membongkar amalan rasuah di kalangan pegawai imigresen di KLIA dan warga China itu bukanlah orang pertama yang menerima layanan sedemikian apabila tiba di Malaysia.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kementeriannya akan memberi kerjasama penuh dengan SPRM untuk menyiasat dakwaan rasuah membabitkan pegawai imigresen dalam mengendalikan pelancong asing di pintu masuk negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen