Terserah kepada rakyat untuk menilai PAS selepas mahkamah pilihan raya membatalkan kemenangan Ahmad Amzad Hashim di Kuala Terengganu, kata pemimpin parti itu hari ini.
Menurut Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, di sebalik pembatalan kemenangan Ahmad Amzad, mahkamah pilihan raya juga mengekalkan kemenangan Abdul Hadi Awang di Marang.
Keadaan itu, katanya, berlaku ketika wujud persamaan pada kedua-dua kes.
"Kes parlimen Marang dengan kes parlimen Kuala Terengganu mempunya fakta yang sama dan undang-undang yang sama, tapi keputusan yang berbeza.
"Itu adalah (keputusan) di pihak hakim pilihan raya, jadi kita tak boleh komenlah.
"Cuma sebagai salah seorang peguam yang mengendalilan kes ini, faktanya sama dan undang-undangnya sama. Jadi PAS serah kepada rakyat untuk menilai," katanya di Kuala Terengganu hari ini.
Terdahulu Takiyuddin ditanya media mengenai kemungkinan PAS akan terpalit dengan dakwaan rasuah selepas hakim mahkamah pilihan raya di Kuala Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad pada 27 Jun lalu.

Keputusan itu dibuat selepas hakim menerima petisyen yang difailkan bekas calon BN Mohd Zuber Embong dan dia berjaya membuktikan wujud amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi menjelang PRU ke-15 pada tahun lalu.
Bagaimanapun pada hari yang sama sebuah lagi mahkamah pilihan raya menolak petisyen yang dikemukakan untuk membatalkan kemenangan Abdul Hadi di Marang.
Hakim yang mendengar perbicaraan itu menganggap pempetisyen, Jasmira Othman, gagal mewujudkan keraguan yang munasabah bagi membatalkan kemenangan Abdul Hadi.
Dalam PRU ke-15 lalu Abdul Hadi memenangi kerusi Marang dengan majoriti 41,729 undi mengalahkan Jasmira sebagai pencabar terdeka. Abdul Hadi memperoleh 73,115 undi.
Kata Takiyuddin PAS yakin rakyat dapat menilai kes tersebut dengan baik apabila pilihan raya diadakan nanti walaupun mereka tidak membuat rayuan atas pembatalan keputusan di Kuala Terengganu.
"PAS dengan rendah diri yakin terhadap sokongan rakyat akan kekal kepada PN terutama di Terengganu ini," katanya.

