malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Jelajah Madani’ platform jelaskan usaha, pembaharuan k’jaan PH-BN
Diterbitkan:  Jul 6, 2023 4:50 PM
Dikemaskini: 8:50 AM
ADS

“Jelajah Madani” yang bermula 4 Julai lepas adalah platform kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk menerangkan usaha dan pembaharuan yang telah dilaksanakan Kerajaan Perpaduan dalam tempoh lapan bulan memerintah kepada rakyat.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata jelajah bertemakan ‘Malaysia Madani’ itu juga menjadi saluran terbaik untuk masyarakat mendengar dan mendapatkan maklumat tepat daripada kepimpinan yang turun ke lapangan.

“Keadilan telah mula menggerakkan Jelajah Madani ke kawasan tumpuan bermula Selasa di Sikamat, Negeri Sembilan. Walaupun dalam keadaan hujan lebat, lebih 1,000 orang terus setia mendengar penerangan yang saya sampaikan sehinggalah program selesai.

Rafizi Ramli

“Jelajah pertama di Sikamat ini juga diikuti secara langsung oleh 5,000 pelayar dalam talian melalui pelbagai platform media sosial. Sambutan menggalakkan ini setara dengan sokongan rakyat sewaktu PKR memulakan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu, ini membayangkan momentum sokongan yang akan terus memuncak menjelang hari mengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rafizi yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR berkata parti itu akan melancarkan jentera dan bilik gerakan esok sebagai persediaan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini dan memastikan jentera parti di peringkat akar umbi bersedia sepenuhnya.

Katanya majlis pelancaran itu dibuat serentak di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi PKR, bermula di Kelantan dan Terengganu esok (7 Julai), Kedah dan Pulau Pinang (8 Julai) manakala Selangor dan Negeri Sembilan (9 Julai).       

“Majlis pelancaran ini akan bermula pada 9 malam dan terbuka untuk dihadiri masyarakat sekitar manakala acara kemuncak program ialah penyerahan bahan-bahan kempen oleh wakil kepimpinan pusat Keadilan kepada pengarah pilihan raya PKR bagi DUN yang berkenaan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen