malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Denda berseluar pendek dibatalkan atau diselesaikan, tanya MCA
Diterbitkan:  Jul 2, 2023 1:04 PM
Dikemaskini: 5:04 AM
ADS

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming diminta mengemukakan penjelasan berhubung denda yang dikenakan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BI) terhadap seorang peniaga bukan Islam kerana memakai seluar pendek di premis perniagaanya baru-baru ini.

Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker berkata dia membangkitkan persoalan itu kerana wujud kekeliruan sama ada kompaun yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan berkenaan dibatalkan atau sudah diselesaikan.

“Adakah isu itu selesai apabila kompaun yang dikenakan dibayar? Sekiranya kompaun telah diselesaikan, maka saman itu tidak dibatalkan.

“Sekiranya ia dibatalkan, menteri terbabit mesti memastikan kompaun yang telah dibayar dikembalikan,” katanya melalui catatan Facebook semalam.

Mengulas lanjut, Ti berkata walaupun Nga mendakwa isu itu selesai, ia berbeza dengan kenyataan yang dibuat oleh bapa angkat wanita terbabit yang memberitahu dia membayar kompaun bernilai RM50 kepada MPKP-BRI pada pagi 27 Jun.

Itu bermakna, kata Ti, denda tersebut dibayar dan tidak dibatalkan seperti yang dicadangkan menteri.

Nga Kor Ming

Ti juga mendakwa Nga kelihatan cuba menutup mulut semua pihak dengan memberi amaran supaya tidak "memanjangkan isu" berkenaan.

“Dengan membangkitkan perkara ini, saya tidak memainkan isu seperti yang diberi amaran oleh menteri. Saya hanya memastikan tiada perbincangan berganda.

“Saya tidak akan membenarkan isu yang menceroboh kebebasan asasi kita ini ‘didiamkan’ dan ditutup tergesa-gesa tanpa menyelesaikan isu sebenar yang melibatkan kebebasan kita ke arah menegakkan hak minoriti seperti yang dinyatakan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan Nga mengenai kebebasan rakyat Malaysia untuk memilih pakaian mereka serta membela wanita terbabit dipuji oleh Ti.

Ti juga menyatakan peniaga itu tidak sepatutnya didenda sama sekali kerana beranggapan seseorang yang berseluar pendek di premis sendiri adalah "wajar mengikut semua standard".

MPKB-BRI pada 26 Jun lalu mengenakan kompaun terhadap seorang peniaga wanita bukan Islam kerana memakai seluar pendek hingga pangkal paha di premis perniagaanya.

Bagaimanapun, MPKB bersetuju membatalkan kompaun terhadap wanita berusia 35 tahun itu selepas sesi perbincangan diadakan bersama Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Mohd Fadzli Mohd Kenali.

Sementara itu, dilaporkan seorang anggota Rela yang bertugas di pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Pulau Pinang cuba menghalang seorang wanita bukan Islam berskirt daripada memasuki pejabat tersebut, Rabu lalu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen