Bekas pegawai Wan Azizah Wan Ismail, Romli Ishak dilantik sebagai pengerusi baru Cyberview Sdn Bhd, sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan.
Kementerian itu dipegang oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga suaminya.
Romli menjadi setiausaha politik Wan Azizah ketika dia menjadi timbalan perdana menteri pada 2018 hingga 2020. Dia juga merupakan penasihat pelaburan kepada menteri besar Negeri Sembilan.
Dalam satu hantaran di Facebook, Cyberview mengucapkan tahniah kepada Romli atas pelantikan itu.
"Dengan pengalaman lebih tujuh tahun dalam tadbir urus korporat dan 15 tahun sebagai usahawan teknologi, semangat Romli terhadap pembangunan bakat dan keusahawanan menjadikannya mentor dan penasihat yang dicari dalam industri teknologi dan inovasi," katanya.
Cyberview bertanggungjawab atas pembangunan Cyberjaya, bandar yang ditubuhkan sebagai sebahagian daripada inisiatif pentadbiran Dr Mahathir Mohamad untuk menarik pelaburan syarikat teknologi pada akhir 1990-an.
Kerajaan sudah dikritik beberapa kali berkenaan pelantikan politik yang dibuat.
Namun, Menteri Pengangkutan Anthony Loke sebelum ini mempertahankan pelantikan yang dibuat, dan berkata mereka perlu membezakan antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan badan berkanun.
Pada bulan lalu, Bersih mempersoalkan jika ada keperluan untuk pentadbiran Anwar meneruskan amalan kerajaan sebelum ini dalam membuat pelantikan politik.
Ia selepas Ahli Parlimen PKR Wong Chen dilantik sebagai pengerusi bukan eksekutif sebuah syarikat milik kerajaan, Malaysia Debts Ventures Bhd (MDV).

