malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
KKM digesa tarik balik 'maklumat salah' isu ETAP
Diterbitkan:  Jun 26, 2023 6:37 PM
Dikemaskini: 10:37 AM
ADS

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Hartal Doktor Kontrak (HDK) menyifatkan kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai elaun tugas atas panggilan (ETAP) untuk pegawai perubatan sebagai maklumat yang salah dan menggesa agar ia ditarik balik.

“Doktor kerajaan berhak mendapat imbuhan yang setimpal atas usaha mereka dalam meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan awam.

“Maklumat salah dalam kenyataan terbaru Kementerian Kesihatan tidak boleh diterima.

“MMA menyeru kementerian untuk menarik balik kenyataan itu,” kata MMA melalui ciapan Twitter hari ini.

Sementara itu, HDK berkata contoh yang diberikan oleh KKM ialah RM220 untuk pegawai perubatan pada hujung minggu atau cuti umum.

HDK menegaskan bahawa waktu bekerja pada hari tersebut adalah 24 jam dan bukannya 15 jam seperti yang ditegaskan oleh kementerian itu.

"Jadi gaji mengikut jam ialah RM9.16 sejam," kata HDK dalam satu siri catatan di Twitter.

HDK turut mempersoalkan mengapa kementerian menggunakan contoh imbuhan pakar perubatan Gred UD52 sedangkan isu berkenaan pegawai perubatan biasa.

Mereka berkata tidak ada pegawai perubatan kontrak yang mempunyai gaji RM18,000 sebulan seperti yang digambarkan dalam contoh kementerian.

“Jika ini tahap pemahaman pegawai atasan Kementerian Kesihatan, maka (Menteri Kesihatan) Dr Zaliha Mustafa ada masalah besar.

“Pegawainya sendiri tidak memahami keadaan di lapangan.

“Penjelasan yang begitu panjang, lengkap dengan perkataan yang ditebalkan (bold), tetapi ia salah dan mengelirukan.

“Tarik balik sahaja (kenyataan itu). Letakkan label palsu,” sindir kumpulan itu.

Awal hari ini, KKM mempertahankan ETAP, dengan berkata adalah tidak tepat untuk membahagikan kadar RM220 ETAP untuk cuti umum dan atas panggilan aktif mingguan selama 24 jam untuk mencapai angka RM9 sejam.

Ia berkata ETAP dibayar berdasarkan 15 jam sehari, dengan mengambil kira tempoh tugas atas panggilan selepas waktu bekerja biasa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen