Sebarang perbincangan berhubung status dan cadangan mewartakan penempatan dan rizab Orang Asli di bawah Tanah Kesultanan, perlu menerusi meja bulat dan bukan secara terbuka.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor Zahari Sarip berkata perkara itu disuarakannya, ketika pertemuan dengan masyarakat berkenaan di beberapa kampung baru-baru ini.
“Ada dalam kalangan masyarakat Orang Asli yang bertanya mengenai soal ini (status dan cadangan pewartaan). Saya minta mereka supaya (adakan) perbincangan itu dalam keadaan meja bulat, bukan dalam perbincangan terbuka, kerana saya bimbang mungkin ada pihak akan ambil kesempatan dalam tempoh kita mengadakan perbincangan di luar.
“Dan saya sendiri dibawa meninjau satu kawasan di Kampung Sayong Pinang, Kota Tinggi. Tanah itu saya lihat ada tanaman sawit dan getah dan diusahakan oleh Orang Asli, jadi maksudnya tiada isu sebenarnya (mengenai status tanah berkenaan) sepatutnya.
“Walau bagaimanapun, kerajaan negeri masih dalam proses perbincangan dengan masyarakat Orang Asli dan kita harap perkara ini (berhubung status penempatan dan rizab Orang Asli) selesai,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan program Johor Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Fest 2023 di Aeon Bukit Indah, di Johor Bahru hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat perbincangan antara kerajaan negeri dan masyarakat Orang Asli, berhubung cadangan mewartakan penempatan dan rizab Orang Asli di bawah Tanah Kesultanan.
Zahari berkata terdapat 60 kampung masyarakat Orang Asli seluruh Johor.
Pada 16 Mac lepas, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menzahirkan kekecewaan berikutan ada segelintir Orang Asli menceroboh kawasan hutan simpan kerajaan, untuk dijadikan ladang getah dan kelapa sawit secara besar-besaran.
Baginda percaya terdapat orang luar yang menjadi dalang dalam hal tersebut dan cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan hak Orang Asli sebagai alasan.
Justeru, baginda turut menggesa kepada kerajaan supaya meletakkan semula kawasan penempatan dan rizab Orang Asli di bawah Tanah Kesultanan, supaya tidak ada mana-mana pihak yang boleh berbuat sesuka hati.
Susulan itu, lebih 200 Orang Asli negeri ini berhimpun di Bangunan Dato Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, untuk menyerahkan memorandum membantah cadangan menjadikan tanah adat Orang Asli sebagai Tanah Kesultanan, pada 8 Mei lepas.
- Bernama

