malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Selepas Sg Kandis, nama Tengku Zafrul muncul di Kuang
ADS

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Tengku Zafrul Abdul Aziz kini dikhabarkan sedang dipersiapkan untuk bertanding di kawasan dewan undangan negeri (DUN) Kuang.

Perkembangan itu dimaklumkan sumber yang dekat dengan Umno ketika tarikh pilihan raya negeri (PRN) Selangor bakal diketahui tidak lama lagi.

DUN Selangor sudah terbubar secara rasmi hari ini.

Bercakap kepada Malaysiakini dengan syarat enggan dinamakan, sumber itu berkata kemungkinan untuk Tengku Zafrul diturunkan di Kuang muncul setelah rundingan untuk mendapatkan tempat baginya di Sungai Kandis.

"Sebelum ini, Tengku Zafrul berhasrat bertanding di DUN Sungai Kandis. Namun, rundingan antara PH dan BN gagal mencapai persetujuan bersama. PH enggan menyerahkan kerusi itu kepada Umno.

"Maka, Tengku Zafrul mungkin akan bertanding di DUN Kuang pada PRN ini," kata sumber itu.

Untuk rekod Sungai Kandis boleh dianggap kawasan selamat buat parti kerajaan perpaduan. Sejak merampasnya dari BN pada 2008, PKR berjaya mengekalkan kerusi tersebut sehingga kini.

Umno tak ada masalah

Dalam tiga PRU terakhir yang dilangsungkan, PKR memenangi kerusi berkenaan dengan kelebihan lebih 10,000 undi.

Wakil rakyat bagi kerusi tersebut sekarang ialah Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang memenanginya melalui pilihan raya kecil pada 2018 ekoran kematian penyandang ketika itu, Shuhaimi Shafiei.

Kuang pula dianggap kawasan agak selamat buat Umno-BN. Parti itu menguasai kerusi tersebut sejak sekian lama sehinggalah pada 2018 apabila Bersatu - yang ketika itu menganggotai PH - merampasnya melalui Sallehuddin Amiruddin dengan majoriti 2,860 undi.

Di sebalik tindakan Bersatu meninggalkan PH pada Feb 2020, Sallehuddin tidak menyertai parti tersebut. Dia menjadi Adun bebas untuk sementara sebelum menyertai Pejuang Tanah Air yang diasaskan Dr Mahathir Mohamad.

Kuang merupakan satu daripada tiga DUN yang terletak di bawah kawasan parlimen Selayang. Dua lagi DUN ialah Rawang dan Taman Templer.

Menguatkan lagi khabar angin pembabitan Tengku Zafrul di Kuang, sumber itu memberitahu bekas tokoh perbankan terbabit mula menghadiri beberapa program anjuran sayap Umno di kawasan parlimen Selayang.

Malaysiakini telah menghubungi Tengku Zafrul untuk mendapatkan komen.

Sebelum ini, beberapa sumber memberitahu Malaysiakini, PH sedia menyerahkan semua kerusi DUN yang dimenangi Bersatu dan PAS pada PRU lalu kepada BN.

Pada 2018, ada enam kerusi dimenangi Bersatu Selangor. Selain Kuang, lima lagi kerusi ialah Batang Kali, Permatang, Jeram, Semenyih dan Dengkil, manakala PAS di Sijangkang.

Sallehuddin Amiruddin

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Selayang Shah Zanuriman ketika dihubungi Malaysiakini berkata Tengku Zafrul sepatutnya memberi fokus untuk bertanding di kawasan parlimen Kuala Selangor atau Kota Raja.

"Kami tiada masalah dengan Tengku Zafrul. Cuma kami fikir dia lebih sesuai di DUN Jeram (Kuala Selangor) atau mana-mana DUN di Kota Raja.

"Ini kerana beliau pernah bertanding parlimen Kuala Selangor pada PRU ke-14 dan sekarang beliau ketua Umno Kota Raja.

"Atas faktor ini peluang dia lebih terbuka di kawasan parlimen Kuala Selangor dan Kota Raja berbanding Selayang," katanya.

Sungai Kandis memang kawasan DUN di bawah Kota Raja selain Sentosa dan Kota Kemuning.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen