malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Hentikan lawatan ke universiti, fokus pemulihan ekonomi'
Diterbitkan:  Jun 21, 2023 10:41 AM
Dikemaskini: Jun 22, 2023 9:17 AM
ADS

Seorang ahli parlimen PN menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya menumpukan sepenuh perhatian ke arah menangani kesusahan rakyat dan ekonomi negara daripada membuat lawatan ke kampus untuk bertemu pelajar.

Ahli parlimen PAS mewakili Besut, Che Mohamad Zulkifly Jusoh berkata sesi perjumpaan Anwar dengan pelajar universiti boleh dilihat sebagai program kempen politik secara terbuka di universiti, yang bertujuan untuk mempengaruhi undi anak muda menjelang pilihan raya negeri tidak lama lagi.

“Pengundi muda turut merasai kesusahan yang dilalui oleh keluarga mereka. 

“Mereka boleh menilai sendiri kredibiliti dan prestasi kerajaan hari ini menyelesaikan masalah ekonomi negara, tanpa perlu kepada pertemuan demi pertemuan yang diatur bersama perdana menteri,” kata Che Mohamad Zulkifly dalam satu kenyataan semalam.

Rakyat, katanya, tetap tidak yakin bagaimana “kerajaan Madani” mahu menyantuni isu-isu kesusahan hidup dan keluh-kesah rakyat.

Menurutnya, apa yang lebih menyebabkan rakyat tertekan adalah kerajaan hari ini seolah-olah tidak menunjukkan empati bahawa kemampuan kewangan orang ramai semakin menyusut disebabkan oleh ringgit yang jatuh, kadar inflasi dan isu gaji yang “stagnant” atau tidak berubah.

“Ahli Parlimen di pihak pembangkang juga masih dinafikan hak mereka untuk mendapat peruntukan yang boleh digunakan untuk membantu meringankan beban rakyat di kawasan masing-masing.

“Dalam pada itu, perdana menteri dilihat aktif menghadiri sesi-sesi pertemuan bersama mahasiswa di premis-premis universiti seluruh negara.” katanya lagi.

Perdana menteri pada Ahad lalu menghadiri program “Temu Anwar” di Universiti Malaysia Kelantan Bachok di Kelantan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen