malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'KJ kekal tanpa parti buat masa ini, tetapi sokong PN pada PRN?'
Diterbitkan:  Jun 20, 2023 2:24 PM
Dikemaskini: 6:28 AM
ADS

Sejak kekalahannya pada pilihan raya umum lalu dan dipecat dari Umno, tindakan seterusnya oleh Khairy Jamaluddin sentiasa menjadi teka-teki.

Bagaimanapun, The Star, yang memetik sumber, melaporkan bekas menteri kesihatan itu akan kekal tanpa menyertai mana-mana parti buat masa ini, tetapi bakal berkempen untuk Perikatan Nasional pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Menurut sumber itu, Khairy telah memaklumkan pendirian itu kepada Pengerusi PN dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin ketika pertemuan mereka semalam.

“Muhyiddin menerimanya (pendirian Khairy),” kata sumber itu sambil menambah tindakan serupa akan diambil oleh  bekas veteran Umno Noh Omar yang aktif dalam kempen PN menjelang PRN akan datang.

Dalam usaha “memikat” menantu bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi itu bersama Bersatu, Muhyiddin dilaporkan telah menawarkannya jawatan majlis tertinggi.

Sementara itu, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu memberitahu Malaysiakini bahawa pertemuan antara Muhyiddin dan Khairy berakhir dengan positif.

"Saya tidak hadir sama jadi saya tidak boleh bercakap banyak, tetapi saya tahu ia adalah pertemuan yang baik," katanya.

Susulan pertemuan itu, spekulasi bertiup kencang bahawa Khairy telah ditawarkan jawatan timbalan presiden Bersatu dan akan diletakkan sebagai calon di kerusi DUN Kota Damansara di Selangor.

Ketika menolak perkara itu, Faizal berkata: "Saya percaya tidak ada sebarang perbincangan mengenainya".

Khairy dipecat daripada Umno pada akhir Januari semasa pembersihan terhadap pencabar presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.

Pada pilihan raya ke-15 lalu, bekas ahli Parlimen Rembau itu gagal merampas kerusi Sungai Buloh daripada PKR.

Khairy sebelum ini berkata, dia menerima tawaran daripada pelbagai parti politik termasuk Bersatu. Dia juga tidak menolak mengenai kemungkinan untuk menubuhkan partinya sendiri.

Semalam, Ketua Penerangan PKR yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Fahmi Fadzil menafikan PKR mengeluarkan surat tawaran kepada bekas Khairy untuk menyertai parti itu sebagai timbalan presiden.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen