malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tiong: Bak Kut Teh perlu dipromosi sebagai makanan warisan
Diterbitkan:  Jun 13, 2023 3:37 PM
Dikemaskini: 8:06 AM
ADS

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing meminta pegawai kementerian untuk meneliti kemungkinan mengiktiraf secara rasmi Bak Kut Teh sebagai makanan warisan tradisional Malaysia.

Dia berkata selain versi tradisional dari ramuan tidak halal yang menggunakan daging babi, kementeriannya akan meneliti versi halal dengan menggunakan ramuan ayam.

"Bak Kut Teh pada mulanya bermula dengan daging babi, tetapi sudah tentu selepas itu trend menjadi popular dan terdapat pelbagai jenis Bak Kut Teh keluar. Bak kut teh makanan laut, ayam, kambing. Sudah tentu ada herba sebagai ramuan asas, lepas tu kita masukkan makanan laut, jadi kita dapat Bak Kut Teh makanan laut," katanya pada sidang media hari ini.

Tiong berkata, rakyat Malaysia mesti dapat meraikan kepelbagaian makanan tradisi semua kaum termasuk Bak Kut Teh sebagai makanan warisan negara.

"Saya ingin menegaskan bahawa kementerian saya akan memberi perhatian kepada semua makanan tradisional setiap kumpulan etnik di negara ini secara sama rata. Kita juga akan bekerja keras untuk mempromosikan makanan tradisional di mata dunia terutama dalam menekankan integrasi budaya," katanya dalam catatan media sosial.

Bak Kut Teh

“Bah Kut Teh juga merupakan hidangan istimewa. Kita perlu melihat dari sudut kandungan dan cara penyediaannya, bukan hanya dari sudut perkauman dan agama.

"Jika mereka mempolitikkan isu makanan ini, ia tidak lama lagi akan menjadi hasutan sehingga mengakibatkan perpecahan kaum dan agama. Tindakan ini boleh menjejaskan perpaduan etnik dan agama di negara ini," katanya.

Tiong, yang juga ahli parlimen Bintulu, berkata rakyat Malaysia perlu berpegang kepada prinsip, menghormati antara satu sama lain dan hidup bersama dalam harmoni tanpa mengira kaum.

“Di kementerian ini, kita memandang serius isu ini dan akan terus berusaha memasukkan Bak Kut Teh sebagai makanan warisan negara.

“Saya harap isu ini tidak dipolitikkan,” katanya.

Tiong berkata, timbalan menterinya Khairul Firdaus Akbar Khan sebelum ini kurang memahami asal usul Bak Kut Teh ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh ahli parlimen pembangkang dari Langkawi di Dewan Rakyat.

“Khairul Firdaus tidak berniat untuk memburukkan imej syarikat dan pencinta Bak Kut Teh, tetapi dia hanya memberi pendapat supaya makanan itu dapat dipelbagaikan selain dapat meluaskan pasaran jualannya.

“Tiada fakta yang boleh disahkan yang mengesahkan bahawa Bak Kut Teh berasal dari kawasan Klang kerana ia telah menjadi makanan istimewa yang digemari di seluruh dunia.

“Walaupun daging babi merupakan bahan utama dalam pembuatan Bak Kut Teh, dengan kemajuan teknologi dan pembangunan penduduk, Bak Kut Teh versi halal berasaskan ayam dan makanan laut telah diperkenalkan,” katanya.

Menurut Tiong, Bak Kut Teh tidak dapat dipisahkan daripada bahan asasnya iaitu sup herba yang mahal. Walau bagaimanapun, katanya, bahan asas boleh digantikan dengan bahan lain.

“Contohnya mi Hokkien yang mengandungi minyak lemak babi boleh ditukar kepada minyak lemak ayam supaya lebih ramai dapat menikmatinya.

“Matlamat kementerian adalah untuk menggabungkan sebanyak mungkin budaya setiap kumpulan etnik di Malaysia supaya masyarakat di luar dapat mengetahui lebih lanjut kisah di sebalik setiap budaya Malaysia.

“Setiap budaya etnik mempunyai nilai sejarah tersendiri, saya amat berharap agar kita semua dapat terus melestarikan budaya ini,” tambah Tiong.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen