malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Siapa akan lawan orang kuat Azmin di Gombak Setia?
Diterbitkan:  Jun 13, 2023 1:59 PM
Dikemaskini: 6:39 AM
ADS

Salah satu kerusi yang masih dirunding parti-parti kerajaan di Selangor adalah Gombak Setia, menurut sumber-sumber.

Kerusi itu disandang oleh Hilman Idham, orang kuat bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali. Seperti mentornya, Hilman juga kini bersama Bersatu.

Gombak Setia berada dalam parlimen Gombak yang gagal dipertahankan Azmin selepas tewas kepada Menteri Besar Amirudin Shari dalam pilihan raya umum November lalu.

Amirudin sebelum ini mendedahkah Pakatan Harapan (PH) dan BN masih belum mencapai kata sepakat untuk mengelakkan pertindihan calon di tiga daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dia berkata matlamat utamanya adalah untuk "berlawan satu lawan satu" dan bukannya PH dan BN bertelagah antara satu sama lain, yang akan menguntungkan Perikatan Nasional (PN).

“Kita serahkan soal tiga kerusi itu kepada pucuk pimpinan pusat,” katanya tanpa mendedahkan kerusi berkenaan.

Pada pilihan raya umum (PRU) 2008, Hilman yang bertanding di bawah tiket PKR memenangi kerusi itu dengan majoriti 12,399 undi. Hilman menewaskan Hasbollah Md Ridzwan dari PAS, yang mengekalkan kerusi PAS pada PRU 2004.

Kerusi itu terdiri daripada 78 peratus pengundi Melayu, Cina (11%), India (9%) dan lain-lain (2%).

Hilman kini adalah setiausaha PN Selangor manakala Azmin, yang merupakan bekas menteri besar Selangor, mengetuai bahagian negeri gabungan itu.

Tiada kerusi untuk MIC, MCA?

Sementara itu, sumber memberitahu Malaysiakini bahawa satu lagi kerusi yang menjadi pertikaian ialah Sungai Kandis, yang mana penyandangnya ialah Zawawi Ahmad Mughni dari PKR.

Zawawi memenangi kerusi itu dalam pilihan raya kecil pada Ogos 2018 selepas Mat Shuhaimi Shafiei, yang muncul sebagai pemenang dalam PRU pada Mei tahun itu meninggal dunia dua bulan kemudian pada usia 50 tahun.

Malaysiakini bagaimanapun tidak dapat maklumat berhubung kerusi ketiga yang dipertikaikan.

Dalam perkembangan berkaitan, sumber mendedahkan bahawa berdasarkan rundingan kerusi antara PH dan BN, MCA dan MIC tidak akan bertanding di Selangor buat kali pertama.

Bagaimanapun, ini bergantung kepada kepimpinan pusat BN, yang mungkin membatalkan keputusan itu.

Pada PRU 2018, MCA telah bertanding di 14 kerusi DUN manakala MIC, tiga, di Selangor. Kedua-dua parti kalah di semua kerusi.

MIC dan MCA telah bergelut untuk kekal relevan sejak PRU 2008, yang menandakan titik mula kejatuhan BN selepas di kubu kuatnya.

Pada PRU 2022, “abang besar” mereka Umno, juga mengalami kemerosotan terbesar dan sedang bergelut untuk mengekalkan kepentingannya di kalangan pengundi Melayu, yang kelihatan cenderung kepada PAS dan Bersatu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen