malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Isu Allah: PN mahu Anwar diheret ke jawatankuasa parlimen
Diterbitkan:  Jun 13, 2023 11:35 AM
Dikemaskini: 5:55 AM
ADS

PARLIMEN l Perbahasan Dewan Rakyat pagi ini terganggu apabila Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) mencadangkan supaya Anwar Ibrahim (Pakatan Harapan-Tambun) dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen.

Katanya, perdana menteri didakwa mengelirukan Dewan Rakyat berhubung kenyataannya mengenai isu "Allah" dalam mewajarkan keputusan kerajaan untuk menarik balik rayuan dalam kes Jill Ireland.

Zulkafperi Hanapi

Anwar pada 23 Mei lalu memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa dia telah merujuk dengan Raja-raja Melayu dan majlis agama Islam negeri sebelum memutuskan untuk menarik balik rayuan itu.

Bagaimanapun, Zulkafperi mendakwa sultan Selangor dalam satu kenyataan berkata perkara itu tidak dirujuk atau dibincangkan dengan baginda.

“Pada 23 Mei, Tambun (Anwar) menafikan tidak merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong dalam menarik balik rayuan kes Allah.

“Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) tanya kepada perdana menteri sama ada kerajaan ada merujuk kepada Raja-raja Melayu dan majlis-majlis agama Islam negeri sebelum mereka ‘senyap-senyap’ menarik balik rayuan berhubung kes itu,” katanya.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak supaya tidak memutar belit fakta mengenai hal penggunaan kalimah Allah dan menggunakannya untuk menipu rakyat.

Ketika menjelaskan dakwaan setengah pihak yang beliau telah mengelirukan Dewan Rakyat berhubung perkara tersebut, Anwar bertegas beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang bercanggah.

“Saya menghadap Sultan Selangor atas titah Tuanku. Apa yang Sultan Selangor sebut iaitu dalam soal perakuan Kabinet tentang tidak membolehkan kalimah Allah digunakan di Semenanjung Tanah Melayu diperkenan, kemudian kelonggaran untuk Sabah dan Sarawak.

“Oleh kerana ada pindaan, Tuanku beri pandangan sebaiknya pindaan yang nak dicadangkan untuk diperkemas peraturan itu dibawa kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) supaya Tuanku sendiri mempersembahkan kepada Majlis Raja-Raja (MRR).

“Apa yang bertentangannya? Nak putar belit tipu rakyat sebab apa? Nak dapat keuntungan politik jangan dengan menipu,” kata beliau pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata demikian sekali gus membidas Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) yang pada permulaan persidangan hari ini bangkit mengemukakan Peraturan Mesyuarat 36(12) menuntut Perdana Menteri dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan bercanggah.

Zulkafperi merujuk kenyataan Anwar di Dewan Rakyat pada 23 Mei lepas yang menafikan dakwaan kerajaan tidak merujuk Yang di-Pertuan Agong mengenai keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menarik balik rayuan keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan penggunaan kalimah Allah.

Menurut Zulkafperi, ia berikutan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 7 Jun yang menunjukkan kerajaan belum merujuk kepada MRR sebelum menarik balik rayuan itu.

Menerusi titah itu, baginda selaku Pengerusi MKI mencadangkan supaya isu kalimah Allah dibawa kepada badan itu pada Ogos depan sebelum ia diangkat kepada MRR Oktober ini.

Pada masa sama Perdana Menteri menegaskan keputusan kerajaan untuk menarik balik rayuan dalam isu kalimah Allah telah dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi panggilan telefon yang dibuat semasa mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Feb lepas.

“Kenyataan itu kalau baca dengan betul tak akan mengelirukan dan memang dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong,” kata beliau.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen