malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MMA tegur KKM lengah bentang RUU kawalan produk merokok
Diterbitkan:  Jun 12, 2023 10:45 PM
Dikemaskini: 2:45 PM
ADS

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) membidas Kementerian Kesihatan berhubung keputusannya merujuk semula Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Presidennya Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, MMA menganggap Rang Undang-undang itu sudah sedia untuk dibentangkan, dibahas dan diundi.

Dia mempersoalkan apakah semakan semula oleh JKPK - selepas bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini - boleh dipercepatkan supaya perbahasan dan pengundian terhadap RUU itu boleh diteruskan dalam sidang parlimen pada masa ini.

“Ini adalah kekecewaan terbesar sekali lagi selepas Kementerian Kesihatan memutuskan untuk mengecualikan nikotin daripada Akta Racun.

"Ia menimbulkan persoalan, adakah kerajaan benar-benar ikhlas membentangkan rang undang-undang itu? Kami kesal meletakkan harapan yang begitu tinggi selepas keputusan mengejutkan hari ini," katanya.

Muruga berkata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa pada 26 Mei lalu menyifatkan satu kejayaan buat KKM apabila mendapat sokongan Kabinet untuk RUU terbabit dibentangkan di Dewan Rakyat.

Menurutnya, pada 6 Jun pula, Zaliha berkata KKM telah memasukkan semua 23 cadangan pindaan terdahulu serta lima cadangan baharu agar RUU itu lebih komprehensif dan meliputi bukan sahaja rokok konvensional, tetapi juga rokok alaf baru termasuk elektronik serta rokok 'combustible'.

"Beliau juga berkata bahawa rang undang-undang itu masih mengekalkan peruntukan mengenai Dasar Generasi Penamat (GEG). Pada pemahaman kami, kelulusan kabinet terhadap RYY itu bermakna kabinet bersetuju dengan RUU bereknaan dan ia sedia untuk dibentangkan.

"Adakah Kementerian Kesihatan baru sahaja memutuskan pagi ini untuk merujuk rang undang-undang itu sekali lagi kepada JKPK untuk 'fine-tuning' selanjutnya?" soalnya.

MMA berkata keputusan untuk merujuk semula RUU berkenaan kepada JKPK bermakna perbahasan RUU itu akan ditangguhkan sekali lagi.

“Oleh itu memandangkan industri e-rokok dan vape masih tidak dikawal, MMA menuntut Kementerian Kesihatan segera membatalkan keputusan mengecualikan nikotin daripada Akta Racun.

"Kami ingin menekankan sekali lagi bahawa penyingkiran nikotin daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun membolehkan mana-mana vape - yang mengandungi nikotin dan bukan nikotin - dijual secara terbuka dan sah kepada sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak pada sebarang umur," katanya.

Muruga mengingatkan kerajaan bahawa adalah tidak bertanggungjawab untuk mengabaikan isu tersebut dan kesan serius terhadap kesihatan awam, khususnya membabitkan generasi muda.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen