malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
RUU Kawalan Produk Merokok dibentang 12 Jun
Diterbitkan:  Jun 6, 2023 6:49 PM
Dikemaskini: 10:49 AM
ADS

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa hari ini mengumumkan bahawa Kementerian Kesihatan akan membentangkan Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam, yang merangkumi dasar generasi penamat (GEG), pada minggu terakhir sesi kedua Parlimen ke-15 ini.

Bercakap pada taklimat media di Parlimen, Zaliha berkata RUU itu akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 12 Jun.

"Selepas itu saya akan berjumpa Setiausaha Dewan Rakyat dan Speaker, dari situ kita akan lihat bagaimana kita ambil langkah seterusnya," kata Zaliha ketika ditanya sama ada RUU itu akan terus dibahaskan dan diluluskan dalam tiga hari terakhir persidangan ini.

Dia mengesahkan bahawa rang undang-undang baru itu akan merangkumi beberapa peruntukan baru serta pindaan berkaitan larangan ke atas golongan yang lahir pada 2007 dan seterusnya.

“Apabila kita lihat apa yang telah dibentangkan dalam rang Undang-undang sebelum ini, ada beberapa perkara yang kita pinda.

"Ini kerana pendekatan yang kita pilih lebih kepada 'soft landing' dengan niat untuk mendidik rakyat," katanya.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata dia sebagai bekas Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) terlibat dalam libat urus dengan pemain industri vape yang telah mengemukakan bantahan mereka terhadap peruntukan khusus di bawah rang undang-undang asal.

Bagaimanapun, dia berkata selepas perbincangan lanjut mereka akhirnya memberi sokongan kepada versi semasa rang undang-undang.

“Jadi sekarang mereka kata mereka akan terima undang-undang itu jika ia diluluskan oleh parlimen,” katanya lagi.

Lukanisman berkata pindaan lain yang dicadangkan, termasuk pengurangan denda daripada RM5,000 kepada RM500, boleh dibahaskan sebaik sahaja rang undang-undang itu dibentangkan.

Dasar GEG khusus di bawah rang undang-undang itu akan mengenakan larangan membeli dan menggunakan rokok atau produk vape bagi mereka yang lahir dari tahun 2007 dan seterusnya.

Antara cadangan yang digugurkan daripada rang undang-undang semasa termasuk melanjutkan larangan membeli dan menggunakan serta menyimpan dan memiliki produk rokok atau vape.

Pada masa yang sama, rang undang-undang itu termasuk kawalan ke atas pendaftaran, pengiklanan, promosi, penajaan, pembungkusan dan penjualan produk merokok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen