malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anwar mahu anak-anak, pelajar dilatih bersihkan sendiri tandas
ADS

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengarahkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya memeriksa tandas sekolah-sekolah di negara ini bagi memastikan setiap murid bertanggungjawab dan mendapat kemudahan yang selesa.

Anwar berkata, dia mendapati ada sebahagian tandas sekolah mengalami kerosakan malah ia tidak diperbaiki atau tiada sebarang tindakan diambil walaupun masalah itu wujud sejak puluhan tahun lalu.

"Bila saya suruh Fadhlina (Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek) periksa tandas di sekolah-sekolah banyak yang rosak, berpuluh tahun tiada siapa peduli.

"Bagaimana kita nak hantar anak ke sekolah kalau tandasnya rosak? Anak kita manusia, bukan dewa," katanya ketika berucap merasmikan D' Anjung Selera Madani di Jalan Jujur, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur hari ini.

Pada masa sama, Anwar berkata, anak-anak juga tidak boleh dibiarkan mengambil mudah isu kebersihan serta keselesaan tandas.

Justeru perdana menteri menyarankan agar mereka dididik dengan sewajarnya untuk menjaga kebersihan dan mencuci sendiri kemudahan tersebut.

Anwar turut sempat mengimbau kenangannya sewaktu memikul tugas sebagai menteri pendidikan.

Ketika itu, katanya, dia pernah berdepan dengan bantahan daripada sesetengah ibu bapa yang tidak bersetuju apabila murid sekolah disuruh membersihkan tandas.

"Anak-anak mesti dilatih untuk bersihkan tandas. Dulu semasa saya menteri pendidikan, saya arahkan semua sekolah buat giliran bersihkan tandas.

"Ada ibu-bapa profesional golongan atasan hantar telegram (membantah): Menteri, saya hantar anak saya belajar di sekolah bukan untuk mencuci tandas," katanya.

Anwar berkata dia kemudian memberi penjelasan kepada ibu bapa terbabit bahawa arahan tersebut bertujuan untuk mendidik murid-murid tentang kebersihan, serta menghormati orang lain termasuk pencuci tandas.

Selain itu, katanya, secara tidak langsung murid-murid terbabit juga akan memahami serta menghargai kerja rumah yang dilakukan ibu mereka termasuk mencuci tandas.

"Dia (anak-anak) akan menghargai tukang cuci di jalanan, di tandas awam bahawa di sana ada nilai kerja.

"Kalau tidak mahu (cuci tandas), maka anak yang tidak mahu cuci tandas mereka itu tidak boleh guna tandas.

"Mereka boleh guna (tandas) di sekolah kayangan. Ini untuk latihan," kata Anwar lagi sambil berseloroh.

Untuk rekod Anwar menjadi menteri pendidikan pada 1986 ketika era pentadbiran bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Lihat Komen