Selepas kerajaan mengumumkan rancangan untuk sistem baru bagi membenarkan orang ramai memohon peruntukan bagi projek-projek kecil, ada yang berpendapat bahawa penyelenggaraan kemudahan awam tetap perlu dilakukan oleh majlis tempatan.
Kumpulan penduduk berkenaan bertegas bahawa tidak sepatutnya menjadi tanggungjawab mereka untuk menyelenggara longkang yang sumbat atau membaiki jalan yang berlubang.
Pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen 14 Petaling Jaya (RA14) George Paul Raj mempersoalkan peranan pihak berkuasa tempatan sekiranya orang ramai terpaksa melakukan kerja-kerja penyelenggaraan sendiri.
“Bukankah ini tugas pihak berkuasa tempatan? Jika kita sendiri yang perlu melakukan pembaikan dan menyelenggara longkang yang tersumbat, apakah fungsi pihak berkuasa tempatan?
"Kita perlu mengingatkan majlis tempatan berkali-kali sebelum aduan ditangani, jadi sudah tiba masanya mereka (kerajaan persekutuan) melihat masa tindak balas pihak berkuasa tempatan," kata George kepada Malaysiakini.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Rafizi Ramli semalam mengumumkan kementeriannya bercadang memperkenalkan sistem baru untuk orang ramai memohon peruntukan bagi projek kecil.

Rafizi berkata sistem baru itu akan dilancarkan pada pertengahan hingga akhir Jun.
Di bawah sistem baru ini, individu yang terdiri daripada orang awam hingga ke pejabat daerah dan jabatan negeri boleh terus menghubungi Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk meminta peruntukan.
Rafizi menekankan bahawa proses semasa melibatkan lapisan birokrasi yang berlebihan, mengakibatkan kelewatan sehingga dua hingga tiga tahun.
Sementara itu, penduduk Petaling Jaya, Michael Kum memberitahu Malaysiakini bahawa peruntukan itu harus datang terus daripada dana majlis tempatan kerana orang ramai membayar kadar taksiran setiap tahun.
Kum yang juga setiausaha Persatuan Penduduk Seksyen 20 (RA20) mencadangkan agar dana disalurkan dengan sewajarnya bagi memastikan tiada salah urus kewangan dalam projek.
“Kami tidak tahu di mana kerajaan negeri meletakkan cukai kami. Mempunyai akses terus kepada dana daripada majlis tempatan (akan menjadi) satu langkah bijak.
"Satu mekanisme tadbir urus yang betul oleh majlis tempatan mesti diperkenalkan, di mana semua kemungkinan keadaan rasuah dihentikan dan di mana dana dicairkan," katanya.
Kum mengulangi pandangan George bahawa jika orang ramai boleh terus menerima bantuan kewangan daripada kerajaan dalam keadaan ini, ia akan bertindih dengan peranan majlis tempatan.
Malaysiakini telah menghubungi ahli majlis tempatan untuk mendapatkan ulasan mengenai perkara itu.