Warisan mencadangkan Perkara 6(7) Perlembagaan Sabah yang dimansuhkan baru-baru ini dikaji semula bagi menambah baik proses pemilihan ketua menteri.
Pada sidang media di Kota Kinabalu semalam, Presiden Warisan Shafie Apdal berkata amalan semasa menggunakan akuan berkanun untuk menentukan ketua menteri boleh menyebabkan ketidaktentuan politik.
Perkara 6(7) menyatakan bahawa apabila parti politik memenangi majoriti kerusi dalam pilihan raya, pemimpin parti itu - yang juga Adun Sabah - yang berkemungkinan mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan hendaklah dipilih sebagai ketua menteri.
Undang-undang ini telah dimansuhkan kelmarin oleh dewan undangan Sabah apabila meluluskan rang undang-undang yang direka untuk menghalang wakil rakyat lompat parti.
Pengundian dibahagikan kepada dua fasa. Kesemua 14 Adun Warisan mengundi menentang klausa dalam rang undang-undang untuk memansuhkan Perkara 6(7). Bagaimanapun, rang undang-undang selebihnya telah diluluskan sebulat suara.
Shafie mencadangkan satu jawatankuasa pilihan dibentuk bagi mengkaji penambahbaikan Perkara 6(7) kerana ia penting untuk memastikan pemimpin dan parti politik yang dipilih untuk menerajui Sabah diberi jawatan ketua menteri.
“Kita tidak mahu parti yang tidak bertanding dalam pilihan raya di Sabah menjadi kerajaan. Ini bercanggah dengan sistem demokrasi,” katanya, seperti dilapor Borneo Post.
Kerajaan Sabah sekarang yang dipimpin oleh Hajiji Noor telah dibentuk pada 2020 yang pada asalnya terdiri daripada Adun Perikatan Nasional (PN) dan BN. Bagaimanapun, Hajiji dan sekumpulan Adun keluar daripada PN Disember lalu manakala BN menarik balik sokongan terhadap Hajiji untuk terus menjadi ketua menteri.
Ini membawa kepada pembentukan kerajaan gabungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) baru. Semasa pilihan raya 2020, GRS bukan entiti rasmi.
Pada Khamis, Hajiji berkata Perkara 6(7) tidak lagi relevan kerana sejak 2018, tiada parti politik memperoleh majoriti untuk mentadbir negeri.
Sementara itu, Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking menggesa kerajaan memastikan undang-undang baru itu juga terpakai kepada Adun yang dilantik.
“Mereka mendapat gaji yang sama, pencen yang sama, elaun yang sama, dan memegang jawatan selama lima tahun dan boleh dilantik semula pada setiap penggal baru tanpa had bilangan penggal.
"Mereka harus tertakluk kepada undang-undang antilompat parti," katanya.