Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan agar Putrajaya memperhalusi dengan cermat kesan tindakan kerajaan menarik balik rayuan mereka berhubung kes Jill Ireland.
Titah Sultan Johor itu, kerajaan perlu berhati-hati kerana persoalan mengenai penggunaan kalimah Allah melibatkan hal yang besar di negara ini.
Menurut Sultan Ibrahim kes tersebut itah berkait rapat dengan isu yang berada dalam sempadan agama Islam dan sentimen umat Islam di negara ini.
"Peraturan, tindakan kawalan, penguatkuasaan dan penyelarasan mengenai kalimah Allah perlu diperincikan tanpa menjejaskan fatwa dan enakmen negeri supaya keharmonian dan perpaduan masyarakat majmuk terus terpelihara.
"Saya tetap berpendirian bahawa penerbitan, percetakan, penyiaran dan pengedaran sebarang bahan yang mengelirukan rakyat, terutamanya umat Islam, tidak akan dibenarkan di Johor," titah baginda dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.
Polemik mengenai kalimah Allah tercetus semula apabila kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menganggap Kementerian Dalam Negeri (KDN) tersilap merampas sejumlah cakera padat (CD) milik Jill yang mengandungi kalimah Allah.
Notis tidak meneruskan kes itu difailkan di Mahkamah Rayuan pada 18 April lalu.
Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman Jill yang mahu mendapatkan pengisytiharan bahawa dia mempunyai hak menggunakan kalimah Allah untuk tujuan agama dan pendidikan.
Mahkamah tinggi juga memutuskan bahawa arahan KDN pada 1986 yang melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Kaabah” dan “solat” sebagai menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan perlembagaan.
Semalam Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan langkah menarik balik rayuan berkenaan dibuat bagi membolehkan kerajaan meminda atau membatalkan semua undang-undang yang bercanggah dengan keputusan Majlis Raja-Raja Melayu berhubung penggunaan kalimah Allah.
Menurut Anwar Ibrahim antara langkah itu ialah bagi membolehkan kalimah Allah hanya digunakan oleh orang Islam di Semenanjung Malaysia, manakala untuk bukan Islam di Sabah dan Sarawak diberikan sekatan.
Anwar juga menegaskan langkah berkenaan - yang dibuat berdasarkan pandangan Peguam Negara - adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan ia tidak boleh dipertikaikan lagi di mana-mana mahkamah.
Dalam kenyataan sama hari ini, Sultan Ibrahim menegaskan Johor tetap melarang sebarang penggunaan kalimah Allah dalam kalangan orang bukan Islam.
Oleh itu titah baginda sebarang penerbitan, percetakan, penyiaran dan pengedaran sebarang bahan yang mengelirukan rakyat atau umat Islam tidak akan dibenarkan di negeri itu selaras dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895.
"Di Johor, fatwa yang diwartakan pada 4 Jun 2009 jelas menyatakan, penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah tidak dibenarkan, ditegah dan dilarang.
"Johor juga mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam 1991 yang melarang penggunaan kalimah-kalimah yang dikhususkan secara eksklusif untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam kecuali dalam keadaan atau amalan yang dibenarkan oleh perundangan, seperti dalam seni kata Lagu Bangsa Johor," titah baginda.

