malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pertikaian Kg Koskan Tambahan: Penduduk dapat pampasan, rumah sementara
Diterbitkan:  May 14, 2023 1:13 PM
Dikemaskini: 5:13 AM
ADS

Isu pertikaian perobohan rumah penduduk Kampung Koskan Tambahan di Serendah, Selangor diselesaikan dengan situasi menang-menang antara penduduk dan pemaju.

Menurut kenyataan bersama Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Ikatan Demokratik (Muda), situasi "menang-menang" dicapai melalui usaha kolaboratif antara penduduk, pemaju dan pelbagai agensi kerajaan.

“Setiap keluarga yang terlibat diberi pampasan ex-gratia sebanyak RM15,000 oleh pemaju untuk keluar daripada rumah.

“Pemaju menyediakan pengangkutan dan tenaga kerja bagi kerja-kerja pemindahan dan kesemuanya selesai dipindahkan dengan semakan akhir pada 12 Mei.

"Kerajaan negeri menempatkan 12 keluarga ke rumah sewa sementara dan menanggung deposit serta sewa bulan pertama. Kerajaan negeri juga akan mengutamakan pemberian rumah Selangorku dan akan membincangkan kemungkinan kelonggaran syarat," kata kenyataan itu.

Pada 17 Feb lalu Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan syarikat pemaju mengambil hak milik tanah itu dan mengarahkan penduduk kampung diusir.

Writ pemilikan telah dikeluarkan kepada pemaju pada 30 Mac.

Susulan itu, pada 27 April lalu sekumpulan penduduk mengadakan demonstrasi di luar bangunan DUN Selangor dan merayu supaya Menteri Besar Amirudin Shari campur tangan bagi menangguhkan pelaksanaan notis pengosongan di kawasan terbabit.

Pada 2 Mei lalu, Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor enggan campur tangan dalam pertikaian isu berkenaan.

Pentadbir Tanah Daerah Hulu Selangor Mohamad Hanafe Basri menjelaskan bahawa lot itu telah menjadi hak milik persendirian selama 133 tahun sejak 21 Jun 1890.

Pemilik tanah asal kemudian menjual tanah tersebut kepada Panca Resmi Sdn Bhd pada 1991 - yang kekal sebagai pemilik sah sehingga kini.

Mengenai permohonan tanah penduduk kampung, Hanafe menjelaskan rumah mereka dibina di atas lot yang dipertikaikan. Bagaimanapun, tanah yang dipohon itu terletak di kawasan rizab Sungai Serendah iaitu dataran banjir.

Akibatnya, pejabat tanah tidak dapat mempertimbangkan permohonan mereka kerana percanggahan terbabit.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen