Pembacaan tentang organisma yang diubah suai genetiknya (GMO) untuk melahirkan organisma baru yang lebih kompetitif dan berdaya saing membuka mata saya tentang pentingnya pengetahuan tentang subjek ini di kalangan pengguna.
Pengetahuan ini amat penting bagi membolehkan pengguna membuat pilihan sama ada untuk membeli produk-produk organik ataupun produk-produk GMO.
Kita seringkali ditawarkan dengan buah-buahan yang mempunyai saiz yang lebih besar, tidak berbiji, tahan lama dan mempunyai warna yang cantik di pasaran tanpa mengetahui bahawa produk-produk pertanian ini diubah suai genetiknya.
Walaupun terdapat juga produk-produk asli yang dikenali sebagai produk organik, namun, oleh kerana harganya yang tinggi, pengguna lebih tertarik dengan produk-produk GMO yang lebih murah dan cantik penampilannya.
Kewajipan moral
Teknologi GMO boleh menghapuskan halangan genetik asas bukan sahaja antara spesies tetapi juga antara manusia, haiwan, dan tumbuh-tumbuhan.
Dengan memasukkan gen virus secara rawak menggunakan spesies yang tidak berkaitan, gen tahan antibiotik, dan bakteria sebagai vektor, penanda, dan penggalak dan mengubah kod genetiknya secara kekal, organisma yang diubah suai secara genetik dicipta, yang kemudiannya menghantar perubahan genetik ini kepada keturunan mereka melalui pewarisan.
Gen haiwan dan juga manusia boleh secara sewenang-wenangnya dimasukkan ke dalam kromosom tumbuhan, ikan, dan haiwan untuk mencipta organisma transgenik yang tidak dapat dibayangkan sebelum ini.
Keraguan tentang GMO ini timbul apabila terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa gen-gen yang tidak patuh syariah dimasukkan ke dalam organisma ini untuk menghasilkan produk GMO yang baru.
Dari sudut yang lain pula, tumbuhan yang baru dicipta dengan tahap imuniti tertentu sudah pasti akan menjejaskan kelestarian ekosistem sedia ada, mengganggu keseimbangan alam semula jadi, dan mengancam spesies sedia ada.
Kesedaran Pengguna
Menurut tinjauan Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan, majoriti rakyat Malaysia (88%) tidak mengetahui undang-undang biokeselamatan, barangan GMO, dan potensi kesannya.
Kebanyakan rakyat Malaysia tidak menyedari bahawa mereka telah memakan GMO.
Rakyat Malaysia perlu meningkatkan pengetahuan mereka tentang GMO ini bagi mendapatkan hak untuk mendapatkan makanan, kesihatan dan persekitaran yang selamat.
Semua produk-produk GMO yang mengandungi bahan yang telah melalui pengubahsuaian genetik mesti dilabel dengan jelas.
Kerajaan dan sektor swasta harus memainkan peranan dalam memastikan orang ramai sentiasa mendapat maklumat berkaitan GMO bagi membolehkan mereka memilih antara GMO dan produk organik dengan lebih yakin.
Kesan GMO terhadap ekonomi
Kemunculan Dasar Bioteknologi Kebangsaan 2005 memberikan bukti tentang perkara ini.
Beberapa undang-undang, seperti Akta Biokeselamatan 2007 diwujudkan untuk mengawal selia pelepasan Organisma Ubahsuai Hidup dan pelepasan produk yang diperbuat daripada organisma ini.
Peraturan-peraturan Makanan 1985, yang dipinda pada 2010 oleh Kementerian Kesihatan untuk menguatkuasakan pelabelan GMO, digubal hasil daripada dasar ini.
Kerajaan Malaysia memberi keutamaan kepada pembangunan GMO kerana ia mempunyai keupayaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Walaupun mempunyai daratan yang luas dan subur yang sangat baik untuk usaha pertanian, negara kita masih ketinggalan dari segi teknologi.
Sebahagian besar barangan pertanian keluaran tempatan masih bersifat konvensional dan tidak dapat memenuhi pasaran tempatan.
Disebabkan ini, negara kita terpaksa membeli barangan pertanian dari luar yang kebanyakannya adalah GMO.
Wang telah berpindah ke luar negara dalam jumlah yang besar akibat pergantungan kepada barangan GMO yang diimport dari negara lain.
Petani tempatan kini tidak dapat bersaing walaupun dalam pasaran tempatan kerana produk GMO, yang diiktiraf dengan kos rendah dan jangka hayat yang lebih lama.
Kesan terhadap sektor pertanian
GMO biasanya digunakan dalam kuantiti yang banyak dalam sektor makanan dan pertanian untuk menjadikan pertanian lebih mampan.
Pada realitinya, pemain utama GMO menjadikannya sangat jelas melalui strategi ekonomi dan lobi politik bahawa mereka merancang untuk menggunakan GMO untuk menguasai dan memonopoli pasaran dunia untuk benih, makanan, serat, dan barangan perubatan.
Akibatnya, petani kecil tidak lagi dapat bersaing dengan syarikat gergasi ini.
Petani kecil kehilangan daya saing mereka akibat monopoli perniagaan GMO ini terhadap benih dan baja, menyebabkan pertanian menjadi tidak berdaya saing akibat kos pengeluaran yang tinggi.
Kajian tentang GMO
Walaupun banyak kajian tentang GMO ini dilakukan oleh Malaysia seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), namun Malaysia bukanlah antara negara yang menerajui teknologi GMO ini.
Oleh itu, lebih banyak penyelidikan dan kajian mesti dijalankan oleh universiti tempatan untuk memastikan Malaysia akan menjadi salah satu pemain terkemuka dalam GMO, khususnya dalam bidang patuh syariah.
Kerajaan harus menggalakkan pemain industri meneroka teknologi GMO dengan menaja penyelidikan universiti tempatan dan menyediakan geran penyelidikan.
Namun, apa yang berlaku, kebimbangan dan hala tuju utama negara kita pada peringkat ini lebih menumpukan pada mengawal selia produk import GMO.
Secara amnya, kita masih lagi berada di landasan yang betul dalam mengendalikan produk GMO ini, dan kita telah muncul sebagai perintis dalam kalangan ahli Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) dalam mewujudkan dasar dan peraturan pengimportan tanaman GMO, yang dikenali sebagai teknologi pertanian bio atau agribiotech.
Melalui Akta Biokeselamatan 2007 dan Garis Panduan Kawal Selia untuk Pengeluaran Ladang GMO 2013, yang mematuhi Protokol Cartagena mengenai Biokeselamatan dan Konvensyen Kepelbagaian Biologi, kita juga mempunyai garis panduan dan peraturan yang ketat mengenai kajian tentang GMO.
Rangka kerja kawal selia berkenaan GMO telah diwujudkan dan meliputi aspek penguatkuasaan dan aktiviti pemasaran, termasuk kelulusan pra-pemasaran dan pemantauan pasca pemasaran.
Peraturan Makanan 1985, seperti yang disemak pada 2010 digunakan untuk menguatkuasakan pelabelan GMO.
Namun, kesedaran GMO di kalangan masyarakat umum masih perlu dipertingkatkan.
Kempen kesedaran GMO perlu diperkukuh supaya orang ramai boleh membuat keputusan yang tepat samada memilih produk organik atau GMO.
Selain itu, pelabelan produk amat penting.
Daripada hanya menyenaraikan tiga item pertama dalam senarai ramuan, ia harus diperluaskan.
Penguatkuasaan label GMO hendaklah selari dengan apa yang telah dilakukan dalam melaksanakan pelabelan halal.
Sebuah badan berkanun harus ditubuhkan untuk mengawal selia longgokan produk GMO di pasaran.
ABD MUTALIB GAPAR seorang pemerhati bebas dan pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

