malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Insya-Allah, kerajaan kita kekal hingga PRU akan datang - Anwar
ADS

Meskipun terdapat spekulasi mengenai pertukaran kerajaan atau perdana menteri yang dimainkan oleh sesetengah pihak, Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menyuarakan keyakinannya bahawa pentadbiran yang diterajuinya akan kekal penuh sehingga pilihan raya akan datang. 

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mendakwa pembangkang yang diiterajui oleh Perikatan Nasional (PN) kini mempunyai akuan bersumpah (SD) mencukupi bagi membentuk kerajaan yang baru.

“Tunggu masa Parlimen, bawalah usul SD. Usul di parlimen tak ada masalah. 

“Ini tiap-tiap minggu dia jadi macam mengigau mingguan - sebelum puasa, sebelum raya, lepas raya, sebelum raya haji, sebelum Thaipusam, tahun baru Cina. 

“Insya-Allah, kita kerajaan perpaduan kekal penuh hingga pilihan raya akan datang,” katanya apabila ditanya berhubung spekulasi terdapat akuan bersumpah untuk menumbangkan kerajaan sedia ada.

Anwar berkata demikian selepas menghadiri sambutan ulangtahun Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM) di ibu pejabat PBSM, Kuala Lumpur hari ini. 

Sebelum ini, ada laporan menyatakan bahawa pembangkang sudah mempunyai SD yang mencukupi dan akan menamakan calon perdana menteri dalam masa terdekat.

Malah, pemimpin Bersatu Muhammad Faiz Na'aman beberapa hari lalu mengeluarkan kenyataan seolah-olah PN telah mempunyai 126 sokongan ahli parlimen untuk membentuk kerajaan. 

Negara sebelum ini berdepan dengan pertukaran kerajaan sebanyak tiga kali selepas PH tumbang melalui rampasan kuasa Langkah Sheraton. 

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin terpaksa meletak jawatan selepas 17 bulan pada Ogos 2021 manakala naib presiden Umno ketika itu, Ismail Sabri Yaakub pula membubarkan Parlimen selepas 15 bulan menerajui kerajaan. 

Walaupun pada PRU15 Nov lalu PH memenangi  kerusi terbanyak, namun ia tidak mencukupi untuk PH yang diketuai Anwar membentuk kerajaan.

Ia terpaksa mendapatkan sokongan daripada BN, khususnya Umno, GPS, GRS dan beberapa yang lain sebelum mampu menubuhkan kerajaan.

Lihat Komen