Tasik Chini di Pekan, Pahang, bukan sahaja pernah terkenal dengan bunga teratainya tetapi juga mitos Naga Seri Gumum yang menakutkan.
Namun, bagi penduduk tempatan, bukan mitos naga yang mereka takuti tetapi kapal mekanikal berkarat yang tinggal di lombong terbiar di pinggir tasik air tawar itu.
Sudah dua tahun sejak keluarga diraja Pahang memutuskan bahawa aktiviti perlombongan di tasik semula jadi kedua terbesar di Semenanjung Malaysia itu dihentikan kerana kebimbangan terhadap alam sekitar.
Sehingga berita ini ditulis, jengkaut dan treler tempat pembuangan sampah - kesemuanya jentera berat yang berharga - masih diletakkan di bekas lombong itu, menimbulkan rasa tidak senang di kalangan penduduk Orang Asli di sekitar.
Mereka yang bercakap kepada Malaysiakini berkata mereka bimbang ini menandakan bunyi gemuruh mesin-mesin itu akan kembali kedengaran.
"Kami mendengar bahawa mereka telah menutup operasi. Tetapi mesin masih ada.
“Saya hairan kenapa mereka masih mahu menyimpannya di sini,” kata seorang penduduk kampung berusia 74 tahun yang hanya dikenali sebagai Husin, yang tinggal di Kampung Melai yang terletak tidak jauh dari salah satu tapak perlombongan di Bukit Ketaya.

Menurut seorang lagi penduduk kampung yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Yom dan bekerja sebagai tekong, sekurang-kurangnya dua bekas tapak perlombongan masih mempunyai jentera yang disimpan di situ.
Satu lagi adalah di tempat penduduk tempatan yang dipanggil Jemerau, terletak tidak jauh dari lombong di Bukit Ketaya.
"Lombong dah berhenti operasi. Tapi nampak jentera lagi. Cuma tak berjalan. Ada dua tempat. Satu Bukit Ketaya yang tadi satu lagi di Jemerau.
"Masih ada rasa risau jentera tak keluar lagi (dari tapak). Takut tercemar air lagi. Takut mereka sambung balik (aktiviti) lombong. Kebimbangan utama kami ialah air tasik, kami tidak mahu air kami tercemar lagi," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Tasik Chini baru-baru ini .

Penduduk tempatan berkata bahawa air tasik itu perlahan-lahan pulih selepas operasi perlombongan dihentikan, menunjukkan kemunculan semula teratai yang pernah menarik ramai pengunjung.
Seorang aktivis Orang Asli yang tidak mahu namanya disiarkan mendakwa terdapat kebimbangan bahawa operasi perlombongan akan disambung semula kerana lombong yang terbiar itu bukan lagi sebahagian daripada Hutan Simpan Tasik Chini.
“Kami dengar tapak lombong dah keluar daripada gazet. Tapi kami tak boleh buat apa semua kami tak ada dokumen," katanya.
Tanpa perlindungan sebagai hutan simpan, aktivis tempatan itu menambah tidak mustahil aktiviti perlombongan dibenarkan beroperasi semula pada masa hadapan.

Malaysiakini masih belum dapat memastikan kebenaran dakwaan itu, kerana permintaan untuk pengesahan dan komen yang dihantar ke Pejabat Menteri Besar Pahang dan pihak berkuasa negeri yang berkaitan tidak menerima sebarang jawapan.
Bagaimanapun, dakwaan itu selari dengan apa yang dinyatakan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Pahang (Jupem) pada 2021, bahawa kawasan yang dirancang untuk perlombongan itu telah dikecualikan daripada hutan simpan yang dirancang ketika itu.
'Tiada kompromi'
Semakan dengan Jabatan Mineral dan Geosains mendapati tiada pajakan atau lesen perlombongan baru yang diluluskan untuk kawasan Tasik Chini sejak 2021.
Bagaimanapun, katanya, terdapat bekas lombong yang masih tertinggal beberapa jentera. Ini termasuk lokasi di mana pajakan perlombongan masih aktif atau yang telah tamat tempoh.

“Ada Pajakan Melombong (yang masih belum tamat tempoh sahnya) atau bekas Pajakan Melombong (Pajakan Melombong telah tamat tempohnya) yang di dalamnya masih terdapat stokpil yang diusahahasilkan sebelum ini, begitu juga jentera dan mesin yang belum di bawa keluar daripada Pajakan Melombong atau bekas Pajakan Melombong kerana sedang dalam proses untuk di bawa keluar bagi mematuhi prosedur yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN).
"Pemantauan di sekitar Tasik Chini dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dan Pejabat Tanah dan Daerah Pekan (PTD Pekan) dari semasa ke semasa," kata jabatan itu dalam jawapannya kepada Malaysiakini.

Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang Mohd Hizamri Mohd Yasin turut memberikan maklum balas yang sama ketika dihubungi dengan berkata mesin itu milik syarikat yang mempunyai lesen untuk menjalankan operasi perlombongan.
Tetapi, katanya, kehadiran jentera perlombongan di lokasi itu tidak bermakna syarikat itu dibenarkan untuk meneruskan aktiviti mereka.
"Ada beberapa (lombong) yang lesennya belum tamat. Tetapi, apa pun, mereka masih tidak dibenarkan beroperasi kerana kita ada moratorium," katanya dalam satu pesanan ringkas.
Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri Pahang yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Orang Asli Syed Ibrahim Syed Ahmad memberi jaminan bahawa kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha untuk mengembalikan aktiviti perlombongan di Tasik Chini.

Dia memberi jaminan bahawa penduduk kampung Orang Asli tidak perlu bimbang kerana terdapat moratorium dikenakan ke atas perlombongan.
“Istana Pahang sudah pun mengeluarkan titah mengarahkan semua aktiviti perlombongan dihentikan. Begitu juga kerajaan negeri.
"Jika ini tidak mencukupi, maka siapa lagi yang mempunyai kuasa untuk menghalang orang ramai daripada menceroboh Tasik Chini? Jika kontraktor atau syarikat masih menentang arahan ini dan cuba menyambung semula perlombongan di sana, maka mereka akan ditangkap," katanya.
Menurut Syed Ibrahim, ini juga sebab kerajaan negeri mahu memasukkan semua perkampungan Orang Asli di Tasik Chini sebagai sebahagian daripada Rancangan Kawasan Khas Tasik Chini.
Bagaimanapun, masyarakat Orang Asli membantah rancangan itu selepas kawasan tanah yang akan diwartakan termasuk kampung dan tanah keturunan mereka yang dipercayai akan menafikan hak Orang Asli.
“Jika kita tidak mewartakan kampung-kampung itu, lebih mudah orang luar datang menceroboh kawasan Orang Asli, mudah untuk mereka melakukan pembalakan haram dan membuka lombong haram.
“Sesetengah orang suka bersuara menentang aktiviti perlombongan haram, tetapi apabila kerajaan mahu mengambil tindakan yang perlu, mereka akan mengatakan bahawa kerajaan menyusahkan hidup mereka.
"Akhirnya, semua yang kita buat juga tak betul di mata mereka. Jadi apa yang patut kita buat?" soal Syed Ibrahim.
Siri laporan ini dihasilkan dengan sokongan daripada Dana Kewartawanan Hutan Hujan dengan kerjasama Pulitzer Center.



