malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lelaki sebabkan kematian budak terlepas dari hukuman mati
ADS

Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini menjatuhkan hukuman penjara 17 tahun ke atas seorang bekas pemilik bengkel kerana menyebabkan kematian anak lelaki teman wanitanya yang berusia dua tahun hampir 10 tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas dimaklumkan Jabatan Peguam Negara menerima representasi Mohd Hisham Mat Yunus, 52, yang dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah tinggi bagi kesalahan membunuh Muhamad Umar Haiqal Mohd Hazlee.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik berkata Jabatan Peguam Negara menerima representasi anak guamnya untuk meminda pertuduhan daripada membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada menyebabkan kematian mengikut Seksyen 304 (a) kanun sama.

Timbalan pendakwa raya Ng Siew Wee mengesahkan perkara itu.

Kamaludin - yang bersidang bersama-sama Hadhariah Syed Ismail dan Ahmad Zaidi Ibrahim - kemudian mengetepikan sabitan Mohd Hisham bagi kesalahan membunuh serta menggantikan hukuman mati dengan penjara selama 17 tahun.

Mohd Hisham diperintah menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 24 Jun 2013.

Kamaludin juga berkata Mohd Hisham bernasib baik kerana terlepas daripada hukuman mati.

Mohd Hisham yang mempunyai tiga isteri dan lima anak didapati bersalah dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Feb 2019 kerana membunuh kanak-kanak terbabit di sebuah bilik di Resort Taman Hutan Rimba Komanwel di Kilometer 23, Jalan Kuala Lumpur-Rawang, Selangor di antara 2 petang 9 Mei 2013 dan 4.30 pagi 2 Jun 2013.

Mengikut fakta kes, ibu mangsa - yang merupakan seorang janda dan memiliki seorang lagi anak berusia empat tahun - menjalin hubungan dengan tertuduh di platform media sosial pada 2013.

Semasa memberi keterangan di mahkamah wanita terbabit memberitahu ketika menginap di resort itu, Mohd Hisyam tidak suka dia mandi bersama anaknya kerana mendakwa perbuatan itu bertentangan dengan ajaran Islam.

Tertuduh kemudian mengambil alih tugas memandikan kanak-kanak tersebut.

Wanita itu berkata dia mendengar anaknya menangis ketika dimandikan Mohd Hisham dalam bilik yang air yang dikunci dan tertuduh meletakkan kanak-kanak tersebut di dalam timba yang dipenuhi air serta ais sebelum meninggalkan mangsa keseorangan semalaman di situ.

Katanya tertuduh mendakwa perkara itu dilakukan atas alasan mahu menghalau roh jahat yang berada di dalam badan mangsa.

Ibu mangsa berkata pada 2 Jun 2013, dia melihat Mohd Hisham melakukan CPR pada kanak-kanak itu yang terbaring kaku dan pada hari sama, wanita terbabit, anak perempuannya dan tertuduh menaiki kereta untuk menanam mayat Muhamad Umar Haiqal di kawasan hutan di Bukit Brinchang, Cameron Highlands.

Wanita itu kemudian membuat laporan polis berhubung kematian mangsa dan melarikan diri dari bilik hotel bersama anak perempuannya ketika Mohd Hisham keluar membeli-belah.

Mohd Hisham kemudian ditahan dan membawa polis ke lokasi mayat mangsa ditanam.

Tertuduh turut diwakili peguam Badrul Hisham Sani dan Low Wei Loke

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen