malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Gamis Kedah nafi terlibat atur majlis lafaz ikrar pertahan Sanusi
Diterbitkan:  Apr 28, 2023 11:27 AM
Dikemaskini: 3:27 AM
ADS

Selepas Menteri Besar Kedah, kini penganjur sambutan Aidilfitri di Seri Mentaloon pula menjarakkan diri daripada kontroversi lafaz sumpah ikrar mempertahankan Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini.

Kata Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis) Kedah, bacaan ikrar tersebut memang tiada dalam atur cara majlis dan berlaku tanpa pengetahuan penganjur.

Pengerusi Gamis Kedah Mohamad Luqman Nurhakim Shamsudin berkata majlis ramah mesra Sanusi bersama mahasiswa itu dihadiri lebih 1,000 penuntut.

Pejabat Menteri Besar Kedah pula, katanya, hanya menyediakan tempat untuk acara berkenaan, selain menyiapkan makan minum pada hadirin sahaja.

Kata Mohamad Luqman, program itu turut menggabungkan sesi ramah mesra serta soal jawab di antara antara Sanusi dan mahasiswa.

"Di penghujung majlis tersebut, terdapat mahasiswa yang tampil ke pentas dan secara sukarela menyatakan sokongan kepad Menteri Besar Kedah melalui bacaan ikrar dan turut mengajak mahasiswa lain untuk turut serta.

"Perkara tersebut adalah di luar daripada atur cara majlis dan di luar pengetahuan pihak kami.

"Penganjur mahupun pihak menteri besar juga tidak dimaklumkan akan ikrar yang dibacakan secara spontan oleh mahasiswa tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Memang acara tahunan

Beberapa hari lalu Sanusi dan kerajaan Kedah dikritik kerana didakwa terlibat dalam majlis membaca ikrar mempertahankan pemimpin PAS tersebut sebagai menteri besar negeri terbabit.

Ia berlaku ketika Kedah - serta lima negeri lagi - bakal membubarkan dewan undangan negeri masing-masing untuk membolehkan pilihan raya diadakan.

Pada 25 April lalu Sanusi membuat kenyataan dia tidak terlibat dalam rancangan membaca ikrar berkenaan kerana majlis tersebut dikendalikan oleh para pelajar.

“Sayapun tidak tahu ada ikrar, saya cuma bersedia untuk jawab soalan-soalan daripada mahasiswa selain daripada itu saya tidak tahu apa-apa,” katanya seperti dipetik FMT.

Mohamad Luqman berkata majlis itu bukan dirancang lebih awal seperti didakwa pihak yang tidak senang dengannya.

"Kami menafikan sekeras-kerasnya dakwaan daripada sesetengah pihak bahawa program itu bertujuan kempen politik dan ikrar tersebut dirancang awal untuk menyatakan sokongan secara paksaan kepada menteri besar," katanya.

Tambahnya program seumpama itu merupakan acara tahunan sempena sambutan hari raya bagi meraikan mahasiswa yang pulang ke Kedah untuk berhari raya.

Media sebelum ini melaporkan semasa sesi soal jawab, seorang pelajar bertanya kepada Sanusi bagaimana mereka boleh menyokongnya untuk kekal sebagai menteri besar selepas pilihan raya negeri akan datang.

Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PN menjawab mahasiswa harus memenangkan PAS.

Pada majlis sama, Sanusi turut mengkritik sambutan rumah terbuka Aidilfitri bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang akan diadakan di enam negeri bermula di Kedah esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen