malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PRN: PH, BN dicadang guna lambang dacing di Kelantan, T'ganu
ADS

Seorang pemimpin Amanah Kelantan melontarkan cadangan agar kerjasama antara PH dan BN dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang dapat disepadukan dengan penggunaan satu logo.

Ketua Amanah Ketereh Che Ibrahim Mohamed berpendapat cadangan itu dikemukakan dan dianggap wajar berdasarkan beberapa faktor.

Justeru katanya untuk memperbesarkan peluang mengalahkan PAS-PN di Kelantan, pemimpin kerajaan perpaduan wajar melihat kemungkinan bertanding dengan menggunakan logo BN.

“Ini kerana PH masih belum diterima dengan meluas di Kelantan dan Terengganu.

“Jadi saya lihat penggunaan logo BN adalah wajar untuk menampakkan perpaduan dan kerjasama yang jitu antara PH dan BN,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Terdahulu media melaporkan PH dan BN sudah memulakan rundingan secara tidak rasmi bagi membincangkan bekerjasama kerajaan perpaduan bagi menghadapi parti lawan khususnya PN di enam buah negeri dalam PRN tidak lama lagi.

Selain Kelantan dan Terengganu, negeri ditadbir PH - Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang - serta Kedah (PAS) dijangka akan membubarkan dewan undangan negeri masing-masing dalam tempoh terdekat.

Beberapa laporan media sebelum ini antara lain pula menyatakan perbincangan mengenai pengagihan kerusi antara kedua-dua gabungan itu juga berjalan lancar.

Situasi di Kelantan dan Terengganu dianggap lebih mencabar buat PH dan BN, khususnya apabila dalam pilihan raya yang diadakan pada 19 Nov tahun lalu menyaksikan PAS-PN menyapu bersih semua kerusi parlimen di negeri terbabit.

Untuk rekod PAS juga merupakan parti yang menguasai Kelantan sejak 1990.

Tambah Che Ibrahim walaupun ada logo lain yang boleh dipertimbangkan, pemilihan lambang BN untuk mewakili calon parti kerajaan pusat di Kelantan dan Terengganu dianggap adalah lebih realistik.

“Ini kerana budaya politik Kelantan dan Terengganu lebih menjurus kepada pertembungan antara PAS dan Umno sejak sekian lama.

“Kita perlu terima hakikat bahawa parti-parti lain masih tidak popular dan belum sebati dalam gelanggang politik Kelantan atau Terengganu,” jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen