Umat Islam di Malaysia akan menyambut hari Raya Aidilfitri pada lusa (Sabtu 22 April 2023).
Pengumuman itu dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad malam ini.
"Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Sabtu, 22 April 2023,” ujarnya.
Pengumuman tarikh 1 Syawal itu dibuat menerusi siaran di televisyen.
Umat Islam di seluruh negara mula menyambut Ramadan pada 23 Mac lalu.
Aktiviti cerapan anak bulan dilakukan oleh Jawatankuasa Melihat Anak Bulan atau Rukyah yang dipengerusikan oleh Mufti setiap negeri.
Ahli jawatankuasa tersebut terdiri daripada pakar falak, alim ulamak, pegawai falak yang berkemahiran serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem).
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Selasa lalu, mengumumkan kerajaan persekutuan telah mengisytiharkan sama ada hari Jumaat (21 April) atau Isnin (24 April) sebagai hari kelepasan am tambahan bergantung pada tarikh 1 Syawal bermula.

