malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital meningkat 26.2%
ADS

Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital Kementerian Kesihatan (KKM) bagi setiap 100,000 penduduk meningkat 26.2 peratus pada Minggu Epidemiologi ke-15 (ME 15/2023) iaitu dari 9 hingga 15 April 2023 berbanding minggu sebelumnya.

KKM dalam kenyataan semalam memaklumkan majoriti pesakit yang dimasukkan ke hospital adalah golongan berisiko tinggi seperti warga emas serta individu dengan komorbid namun peningkatan itu tidak membebankan perkhidmatan kesihatan dan hospital masih beroperasi seperti biasa.

“Dari 1 Jan 2023 hingga 15 April 2023, kadar kes kematian (CFR) Covid-19 dilaporkan adalah 0.3 peratus (berbanding gelombang Delta dengan CFR yang tinggi iaitu sebanyak 2.1 peratus).

“Sebanyak 80.7 peratus melibatkan pesakit berumur 60 tahun dan ke atas manakala 82.6 peratus adalah dalam kalangan individu dengan komorbid,” menurut kenyataan itu yang turut memaklumkan kematian pesakit yang tidak pernah divaksinasi adalah enam kali lebih tinggi berbanding pesakit dengan satu dos penggalak.

“Berdasarkan data tahun ini setakat 17 April, hanya 50 peratus atau 16,327,196 penduduk Malaysia telah menerima dos penggalak pertama dan 2.5 peratus (819,150 individu) menerima dos penggalak kedua.

“Risiko kemasukan ke hospital dan keterukan gejala boleh dikurangkan dengan pengambilan dos penggalak.

“Justeru, orang ramai terutamanya individu berisiko tinggi disarankan untuk mendapatkan dos penggalak disebabkan berlaku penurunan imuniti dalam tempoh tiga hingga enam bulan daripada dos terakhir,” katanya.

KKM turut mengingatkan rakyat Malaysia agar mengamalkan langkah berjaga-jaga bagi membendung peningkatan jangkitan semasa musim perayaan walaupun negara berada dalam Fasa Peralihan Covid-19.

Masyarakat juga dinasihat untuk sentiasa mengamalkan TRIIS (Uji, Lapor, Asing, Maklum dan Dapatkan Rawatan) bagi individu yang bergejala dan sekiranya ujian COVID-19 didapati positif, individu tersebut perlu mengasingkan diri, kekal berada di rumah dan tidak menerima tetamu.

“Orang ramai digalakkan memakai pelitup muka di kawasan sesak, sempit dan ramai orang bagi melindungi golongan berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan komorbid atau imuniti rendah serta kanak-kanak daripada dijangkiti Covid-19,” katanya.

KKM turut mengingatkan orang ramai untuk mendapatkan rehat yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan, berhenti untuk rehat seperti singgah di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) bagi mengurangkan stres, rasa penat serta mengantuk.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen