malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tangkapan protes Covid-19: Saman terhadap polis dibicara pada 2025
Diterbitkan:  Apr 19, 2023 1:01 PM
Dikemaskini: 5:02 AM
ADS

Perbicaraan penuh kes saman bekas tahanan acara nyalaan lilin mengenang korban Covid-19 terhadap polis atas dakwaan penangkapan salah akan berlangsung pada tahun 2025.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan tarikh 24 hingga 28 Mac untuk perbicaraan penuh di hadapan hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz.

Peguam peserta-peserta acara itu Nur Izni Syazwani Ahmad mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini baru-baru ini.

Katanya, hanya tarikh itu yang kosong dalam dalam jadual mahkamah. 

Dia juga berkata pihak-pihak dalam saman itu, termasuk pihak berkuasa, sedang menyelesaikan fail-fail praperbicaraan.

Pada 30 Disember 2021, seramai 16 peserta yang ditahan dalam acara perkabungan itu menyaman polis atas dakwaan penangkapan salah.

Peguam plaintif New Sin Yew berkata mereka memohon pengisytiharan mahkamah bahawa hak mereka bawah Perlembagaan Persekutuan dicabuli semasa perhimpunan 19 Ogos yang digelar "Malam belasungkawa jiwa-jiwa yang telah pergi".

Mereka antaranya meminta ganti rugi am dan pampasan RM1,000 untuk telefon bimbit yang rosak, katanya pada sidang media maya Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) bagi pihak 16 plaintif.

SSR adalah penganjur protes “Lawan” antikerajaan letika pentadbiran Muhyiddin Yassin bagi memperingati mangsa Covid-19 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Angka kematian Covid-19 ketika itu ialah 13,385 orang.

Plaintif menamakan ketua polis, polis, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Mereka mendakwa “peserta diheret, ditengking dan didera” oleh polis pada malam itu.

Seramai 31 individu ditahan semasa acara itu, termasuk anggota SSR.

Pada program itu, peserta diheret ke dalam Black Maria selepas berlaku pertengkaran antara peserta dan anggota polis di lokasi.

Mereka kedengaran berulang kali menuntut polis menyatakan sama ada mereka ditahan, tetapi soalan mereka tidak diendahkan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen