malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
KWSP nafi dakwaan hadapi krisis tunai bayar pengeluaran
Diterbitkan:  Apr 12, 2023 1:46 PM
Dikemaskini: 5:46 AM
ADS

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menafikan spekulasi yang tersebar, mendakwa tentang krisis tunai yang dihadapi dana persaraan itu selain menyangkal bahawa Akta KWSP 1991 akan dipinda untuk menghalang pesara daripada mengeluarkan simpanan mereka.

Dalam satu kenyataan, KWSP berkata ia sentiasa mengekalkan kecairan yang mencukupi untuk memenuhi semua komitmennya. 

Jelasnya, segala aktiviti jual beli aset luar negara adalah sebahagian daripada operasi pelaburan KWSP mengikut alokasi aset strategiknya sambil menegaskan bahawa langkah itu bukan untuk membayar pengeluaran prapersaraan.

"Malah, terdapat peningkatan yang stabil dalam keseluruhan pelaburan asing KWSP sejak beberapa tahun yang lepas, walaupun semasa berlakunya krisis Covid-19. 

"Selain itu, KWSP juga menyangkal spekulasi bahawa Akta KWSP 1991 akan dipinda untuk menghalang pesara daripada mengeluarkan simpanan mereka," katanya.

KWSP mengeluarkan kenyataan bagi menafikan spekulasi yang tersebar melalui WhatsApp yang merujuk kepada satu rencana akhbar antarabangsa bertarikh 7 April 2023, bertajuk “Bank Negara says Malaysians could run out of savings 19 years too soon”. 

"Apa yang diketengahkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM)  ialah situasi yang membimbangkan bagi pesara yang disebabkan oleh isu struktur seperti gaji yang rendah, yang sememangnya wujud sebelum pandemik melanda," katanya.

Menurut BNM di dalam laporannya, simpanan median untuk kumpulan umur 51-55 hanya akan bertahan lima tahun selepas pengeluaran pada umur 55, dan ia telah menurun kepada sekitar tiga tahun selepas pengeluaran berkaitan pandemik.

Laporan itu selanjutnya menyatakan bahawa rata-rata rakyat Malaysia akan menghadapi risiko kehabisan simpanan persaraan mereka 19 tahun sebelum kematian, dengan jangka hayat global meningkat kepada 77 tahun ke atas menjelang 2050, katanya.

Selain itu, golongan milenial dalam lingkungan umur 26-40 tahun berkemungkinan menghadapi cabaran kewangan yang ketara, kerana ramai berhadapan kesukaran untuk memenuhi had Simpanan Asas KWSP sebanyak RM240,000.

"Pengeluaran khas berkaitan pandemik juga telah menyebabkan pengurangan signifikan dalam jumlah simpanan persaraan ahli," jelas KWSP.

Sehingga Mac 2023, 70.5 peratus daripada 7.2 juta ahli sektor formal aktif berumur 18-55 tahun tidak memenuhi had Simpanan Asas KWSP mengikut umur manakala 3.1 juta atau 39 peratus ahli yang membuat pengeluaran khas dan berumur di bawah 55 tahun setakat Januari 2023 masih belum mula membina semula simpanan mereka.

Justeru, tahap simpanan mereka kekal rendah, dengan median simpanan sebanyak RM890. 

"Keutamaan kami dalam perkara ini adalah untuk membina semula simpanan persaraan dan memperluaskan perlindungan kepada mereka yang berada di luar skop semasa Akta KWSP 1991.

"KWSP juga sedang berbincang dengan kerajaan mengenai pembaharuan yang berpotensi untuk menangani isu ketidakcukupan simpanan persaraan yang semakin terjejas akibat pandemik," katanya.

Ia turut menyarankan ahli agar hanya rujuk kepada berita sahih daripada sumber rasmi, dan bukannya spekulasi melalui media sosial.

- Bernama

Lihat Komen