malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Loke: Surat Azalina pada peguam Najib tak pernah dibincang kabinet
ADS

Surat yang dihantar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said kepada peguam Najib Razak yang memaklumkan kesimpulan siasatan SPRM terhadap hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, tidak pernah dibincangkan kabinet.

Ia disahkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke ketika ditanya berkenaan perkara itu dalam sidang media hari ini.

"Tak pernah dibincangkan dalam kabinet," katanya.

Loke juga berkata dia tidak pasti jika perkara itu akan dibawa ke mesyuarat kabinet pada Rabu ini.

"Mesyuarat kabinet Rabu ini. Saya belum tahu lagi apa akan dibincangkan."

Pada 6 April lalu, Azalina dilaporkan menghantar surat kepada ketua peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah berhubung kesimpulan siasatan SPRM terhadap Nazlan.

Nazlan merupakan hakim yang membuat sabitan terhadap Najib dalam kes SRC International dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya.

Sumber memberitahu Malaysiakini yang Shafee telah menulis surat kepada Azalina untuk memintanya mengesahkan sama ada SPRM mendapati Nazlan ada konflik kepentingan atau tidak ketika mendengar kes SRC International.

Shafee juga bertanya jika SPRM mendapati Nazlan melanggar Kod Etika Hakim.

Dalam surat balasnya kepada Shafee bertarikh 20 Mac, Azalina menyatakan bahawa jawapan kepada soalannya berhubung siasatan SPRM ke atas Nazlan adalah afirmatif.

Pengampunan diraja

Mengulas perkara berkaitan, Loke berkata pendirian Umno untuk membuat permohonan pengampunan diraja untuk Najib juga tidak dibawa ke kabinet.

Dia menegaskan itu merupakan keputusan Umno sebagai sebuah parti politik dan kerajaan tiada kaitan dengannya.

"Untuk berlaku adil kepada menteri Umno, ia tidak pernah dibawa ke kabinet.

"Jadi itu bukan pendirian kabinet, tetapi pendirian parti," katanya.

Loke berkata mana-mana pesalah boleh memohon pengampunan dan kerajaan akan menyerahkan soal itu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan.

"Sama ada (permohonan) dibenarkan atau tidak, terpulang kepada Agong.

"Pada kita (kerajaan), kita menaruh kepercayaan kepada proses yang saksama dan kebijaksanaan Agong untuk membuat keputusan yang terbaik," katanya lagi.

Pada 7 April lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebulat suara memutuskan untuk memohon pengampunan diraja untuk Najib.

Majlis itu juga merancang untuk menyerahkan memorandum berkenaan perkara itu yang ditandatangani kesemua 191 ketua bahagian Umno kepada Agong.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen