Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memandang berat kegagalan pihak berkuasa melindungi hak remaja bawah umur yang ditahan di Pasir Gudang, Johor, kerana didakwa berkelakuan tidak senonoh dengan seorang pemuda berusia 22 tahun. .
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Nancy Shukri berkata pihak berkuasa perlu lebih bijaksana dalam mengendalikan kes melibatkan pesalah remaja.
Sementara itu, timbalannya, Aiman Athirah Sabu pula berkata adalah memadai untuk mereka diberi amaran atas kesalahan kecil yang dilakukan.
"Penahanan kanak-kanak sepatutnya menjadi langkah terakhir kerana adalah memadai untuk mereka diberi amaran atas kesalahan kecil dilakukan.
"Mengikut akta (akta Kanak2) yang sama dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), identiti kanak-kanak juga perlu dilindungi dan tidak boleh didedahkan, manakala kanak-kanak itu berhak berunding dengan peguam pilihannya,” katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu, remaja perempuan berkenaan dibawa dalam keadaan bergari di hadapan pihak media ketika proses tahanan reman berlangsung.
Menurut Athirah, berdasarkan Seksyen 83A Akta Kanak-Kanak 2001, remaja bawah umur tidak boleh digari dan mesti dipisahkan daripada orang dewasa semasa ditahan di balai polis.
Katanya, hak kanak-kanak bawah umur yang melanggar undang-undang cenderung diabaikan sebaik sahaja tangkapan dibuat.
Sementara itu, Nancy berkata dia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memperbaiki perkara itu.
“Saya akan bercakap secara peribadi dengan KPN, Menteri Dalam Negeri (Saifuddin Nasution Ismail) serta (D11) Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah untuk melihat bagaimana kita semua boleh bekerja sebagai satu pasukan untuk memperbaiki perkara itu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Nancy enggan mengulas lanjut memandangkan kes itu masih dalam siasatan dan mengatakan pihaknya sedang menunggu keputusan siasatan oleh pihak polis.
Pada masa sama, dia turut menasihatkan orang ramai serta pengamal media supaya lebih berhati-hati apabila berkongsi maklumat terutama berkaitan remaja bawah umur dan kanak-kanak yang menghadapi masalah dengan undang-undang.
Beberapa pihak membangkitkan kebimbangan mengenai hak remaja perempuan itu berikutan liputan meluas pihak media dan tindakan yang diambil pihak polis.
Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak menafikan remaja itu ‘diperagakan’ dalam keadaan bergari.
Dalam kenyataan akhbar semalam, ketua biro hak asasi manusia Muda, Dobby Chew berkata layanan yang diterima remaja itu semasa proses tahanan reman menyebabkan banyak gambarnya dirakam tanpa mengambil kira haknya di bawah Akta Kanak-Kanak.
"Kesilapan dan salah laku polis berkemungkinan akan mendatangkan kemudaratan jangka panjang kepada mereka yang terlibat dan polis mesti mengakui peranan dan tanggungjawab mereka dalam situasi ini, dan bertanggungjawab atas sebarang kemudaratan yang berlaku," kata Chew dalam satu kenyataan.
Pasangan itu ditahan pada Khamis (6 April) lepas susulan klip video yang menunjukkan mereka melakukan hubungan intim di dalam sebuah kereta di kawasan letak kereta.
Semalam pihak polis mendapat perintah tahanan reman selama dua hari terhadap pasangan itu untuk disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana "berkelakuan tidak senonoh".
Pasangan itu bagaimanapun telah dibebaskan.

