malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MOT lulus 527 penerbangan tambahan sempena Aidilfitri
ADS

Kementerian Pengangkutan (MOT) meluluskan 527 penerbangan tambahan sempena Aildilfitri tahun ini, melibatkan perkhidmatan enam syarikat iaitu Malaysia Airlines, Batik Air, AirAsia, Firefly, MASWings dan MYAirline.

Menerusi kenyataan di Putrajaya hari ini, MOT memaklumkan langkah yang diambil bersama Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) itu bertujuan menampung permintaan yang tinggi ketika musim perayaan melibatkan penerbangan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak.

“Sejak awal Mac, MOT dan Mavcom mengambil langkah proaktif dan menggalakkan syarikat penerbangan untuk menawarkan harga penerbangan berpatutan.

“Mavcom meluluskan semua permintaan tambahan kapasiti oleh syarikat penerbangan yang menawarkan tambang tetap ke destinasi-destinasi utama dalam Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Malaysia Airlines menawarkan 184 penerbangan tambahan, manakala Batik Air 173, AirAsia 130, Firefly 18, MASwings 12 dan MYAirline 10.

Penerbangan tambahan itu melibatkan 118 penerbangan dari Semenanjung Malaysia ke Kota Kinabalu, ke Tawau (70), ke Sandakan (32), ke Kuching (102), ke Sibu (34), ke Miri (20) dan ke Bintulu (14).

Menurut MOT, Mavcom turut meluluskan penerbangan tambahan lain untuk memastikan ketersediaan tempat duduk yang lebih tinggi bagi menangani peningkatan permintaan dan memastikan harga penerbangan berpatutan.

“Tiket tambang tetap tersebut telah dijual dengan pantas. Malah, tiket tambang biasa turut menyaksikan kadar pembelian tinggi dan membawa kepada peningkatan harga bagi tiket yang berbaki,” katanya.

MOT memaklumkan pihaknya bersama Mavcom turut melaksanakan langkah intervensi apabila kapasiti yang ditawarkan syarikat penerbangan tambang rendah tidak mencukupi dengan mengadakan perbincangan bersama Malaysia Airlines Berhad (MAB).

Langkah itu katanya membawa kejayaan apabila MAB bersetuju untuk meningkatkan kapasiti penerbangan iaitu 40 menggunakan pesawat Airbus A330 bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.

“Penambahan kapasiti ini membantu menurunkan harga tambang sebelum ini,” katanya.

MOT menjelaskan ia merupakan tambahan kepada 5,617 penerbangan sedia ada yang telah dijadualkan untuk beroperasi dalam Semenanjung Malaysia, 2,149 penerbangan di antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak, serta 2,033 antara Semenanjung Malaysia dan Sabah

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen