malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ahli eksekutif dominasi DUN Melaka selepas pelantikan baru
Diterbitkan:  Apr 7, 2023 10:47 AM
Dikemaskini: 2:47 AM
ADS

Ahli-ahli eksekutif kini mendominasi pertadbiran Melaka selepas ketua menterinya Ab Rauf Yusoh mengumumkan pelantikan 10 Adun itu sebagai timbalan exco yang baru.

Langkah itu menyaksikan hanya lima Adun kerajaan menjadi anggota penyokong kerajaan dalam dewan undangan negeri (DUN) yang memiliki 28 kerusi itu

Dua daripada kerusi tersebut diwakili pembangkang dari PN.

Lima Adun tersebut ialah Sulaiman Md Ali (Umno-Lendu), Muhammad Jailani Khamis (Umno-Rembia), Adly Zahari (Amanah-Bukit Katil), Lim Ban Hong (MCA-Kelebang), dan Kerk Chee Yee (DAP-Ayer Keroh).

Untuk rekod Adly - yang juga bekas ketua menteri - merupakan timbalan menteri pertahanan atas kapasitinya sebagai ahli parlimen Alor Gajah, justeru dia tidak dilantik untuk menganggotai barisan exco kerajaan Melaka.

Sulaiman pula baru saja meletakkan jawatan sebagai ketua menteri dan langkah dibuatnya itu membuka jalan untuk Ab Rauf diangkat sebagai pengganti.

Muhammad Jailani merupakan exco semasa Melaka ditadbir Sulaiman. Dia secara terbuka mengkritik peralihan kuasa yang berlaku baru-baru ini, sekali gus tidak mengejutkan apabila namanya tidak terpilih dalam senarai disediakan Ab Rauf.

Berikut ialah senarai 10 timbalan exco Melaka yang disusun Ab Rauf:

Khaidhirah Abu Zahar (Umno - Rim)
Zulkifli Mohd Zin (Umno - Taboh Naning)
Zaidi Attan (Umno - Serkam)
Low Chee Leong (DAP - Kota Laksamana)
Mohd Noor Helmy Abdul Halem (Umno - Duyong)
Leng Chau Yen (DAP - Bandar Hilir)
Faizah Abd Azis (Umno - Sungai Rambai)
Zahari Abd Kalil (Umno - Durian Tunggal)
Rosli Abdullah (Umno - Kota Linggi)
Tuminah Kadi @ Mohd Hasim (Umno - Pantai Kundor)

Dengan susunan tersebut kemungkinan besar Khaidirah akan melepaskan jawatannya sebagai timbalan speaker DUN Melaka.

Secara keseluruhan, daripada 10 exco terkini, tujuh adalah dari Umno sementara MCA, MIC, dan DAP masing-masing mempunyai satu ahli, manakala dalam kalangan timbalan mereka, lapan adalah dari Umno sementara dua adalah dari DAP.

Jawatan timbalan exco mula diperkenalkan pada 2013 oleh ketua menteri ketika itu, Idris Harun, sebelum dimansuhkan oleh PH apabila gabungan tersebut mentadbir Melaka pada 2018.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen