Pemandu teksi yang mendakwa gigih berjalan dari Skudai sehingga ke Istana Negara selama kurang dari seminggu baru-baru ini menceritakan pengalaman itu malam tadi.
Melalui hantaran video Noorazlan Ismail berkata jadual hidupnya tidak teratur sepanjang perjalanan tersebut malah ada ketika tertentu dia tidak tidur pun.
"Tidur saya tak tentu. Saya pun ikut kudrat saya, kadang-kadang sampai dua hari pun saya tak tidur," katanya.
Pun begitu Noorazlan, 49, memberitahu dia ada cara tersendiri untuk mengatasi isu tersebut dan menganggap ia sebagai suatu "kelebihan" yang dikurniakan Tuhan.
"Dari segi tidur tu saya pun alhamdulillah... dengan langkah saya penuh dengan selawat, zikir, mungkin satu kelebihan yang Allah bagi," katanya.
Noorazlan menarik perhatian ramai apabila mendakwa berjalan dari Johor ke Kuala Lumpur sebagai usaha menarik perhatian kerajaan bagi membenarkan pengeluaran dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.
Di hadapan Istana Negara dia kemudian "secara kebetulan" bertemu pula dengan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Bersatu Wan Saiful Wan Jan yang ke situ bersama beberapa NGO untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dalam isu yang sama.
Menurut Noorazlan dalam video malam tadi, dia menempuh jarak perjalanan sejauh kira-kira 312km dari Plaza Tol Skudai dengan memakan masa enam hari iaitu antara 28 Mac hingga 3 April.
Bagaimanapun, dakwaan berkenaan mengundang keraguan sesetengah pihak dengan ada antaranya membandingkan perjalanan pelakon Sharifah Sofia Syed Hussein sejauh kira-kira 235km selama sembilan hari dari Taman Negara di Pahang ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun lalu.
Dalam video malam tadi, Noorazlan menjawab persoalan dibangkitkan aktivis Syarul Ema Rena Abu Samah - atau dikenali juga sebagai Ratu Naga - dan pegawai penyelidik Wan Saiful yang baru-baru ini didakwa di mahkamah, Mohamad Shafiq Abdul Halim.
Sesi itu diadakan sebagai usaha menjawab keraguan orang ramai pada Noorazlan.
Ketika ditanya bagaimana dia tidur semasa dalam perjalanan, Noorazlan berkata dia akan melelapkan mata di mana sahaja apabila berasa letih, sebelum kembali menyambung perjalanan.
Suami isteri beri kot
Antara tempat dia merehatkan badan ialah di bawah jambatan, taman awam, dan di atas rumput basah di pinggir pembahagin jalan.
"Ada sekali tu dengan basah hujan pernah juga saya tidur kat tepi divider tu... di atas rumput. Wah itu yang paling... terkesanlah.
"Dengan keadaan baju basah, dalam beg tu semua penuh baju pun basah juga. Dengan keadaan rumput basah. Oh kalau kenangan ni aAlhamdulillah sampai bila-bila saya tak akan lupa," katanya.
Menurut Noorazlan dia memulakan perjalanan itu kira-kira jam 10 malam pada 28 Mac, kemudian tiba sekitar jam 4 pagi atau 5 pagi pada 3 April. Berdasarkan kenyataan tersebut secara keseluruhan dia menghabiskan masa lima hari dan empat atau lima jam.
Noorazlan turut menafikan pernah menaiki atau menumpang sebarang kenderaan di sepanjang jalan. Kerana perjalanan itu juga lehernya dibakar terik sinaran matahari dan kakinya juga melecet.
Pun begitu tambahnya dia bernasib baik kerana bertemu dengan ramai orang yang baik hati dan menolongnya di sepanjang perjalanan tersebut.
Misalnya individu didakwanya bernama "Dr Rahman" yang merawat kecederaan pada kakinya. Tidak cukup dengan itu lelaki terbabit turut menghadiahkan kasut baru walaupun dia lebih suka berjalan dengan selipar disebabkan kecederaan tersebut.
Doktor itu juga dakwa Noorazlan membawakan pakaian ganti apabila mengetahui dia basah kuyup selain membekalkan power bank.
Sepasang suami isteri yang ditemuinya pula memberikan beg berisi beberapa helai pakaian ganti bersama makanan dan air, selain sut yang dipakainya semasa berada di luar Istana Negara.
Noorazlan sempat bergurau yang dia menerima begitu banyak tawaran untuk diberikan kasut baru. Jika diterima, katanya, dia boleh berhenti jadi pemandu teksi dan menjual semula kasut berkenaan.
Ditanya mengapa pada suatu ketika dia berhenti mengkemas kini media sosial mengenai perjalanan tersebut Noorazlan menjelaskan tindakan tersebut dibuat atas nasihat polis.
Sengaja tutup telefon
Dakwanya nasihat tersebut diterima semasa mereka berbincang di pejabat pengendali syarikat lebuh raya berkenaan di susur keluar Yong Peng di Johor.
Ketika itu Mohamad Shafiq - yang didakwa Noorazlan ditemuinya kali pertama di pejabat Plus - mencelah untuk memberitahu ada anggota polis dari Cawangan Khas Johor yang menasihatkan pemandu teksi terbabit agar membatalkan perjalanan berkenaan.
Kata Mohamad Shafiq anggota polis terbabit bimbang kerana isu pengeluaran KWSP "sensitif dari segi politik" dan perjalanan Noorazlan boleh menarik orang ramai atau mengundang kritikan kepada kerajaan.
Dia kemudian didakwa menawarkan diri untuk menghantar Noorazlan pulang.
Dalam perbincangan itu, Noorazlan turut dinasihatkan supaya tidak berjalan di lebuh raya atas faktor keselamatan.
Semasa dia meneruskan perjalanan dan sampai ke Pagoh, Noorazlan berkata dia kerap dihubungi oleh "pihak tertentu" dan mula bimbang jika amaran anggota polis terbabit menjadi kenyataan.
Keadaan itu katanya boleh menjejaskan misi dia ke Istana Negara.
"Ada banyak (panggilan) telefon masuk, jadi dari situ lebih baik saya tutup telefon. Saya tak nak mereka tahu keberadaan saya. Jadi pasal itulah saya tak update, tak upload sampai misi saya berjaya," katanya.
Mendakwa mematuhi nasihat anggota keselamatan sebelum itu, kata Noorazlan, memang dia kemudian menggunakan jalan raya biasa namun sesekali kembali ke lebuh raya untuk mempercepat perjalanan tersebut.
Ditanya mengapa dia memilih untuk mengambil jalan sukar dan panjang untuk memperjuangkan isu KWSP, Noorazlan berkata, dia sebenarnya tidak berminat dalam politik.
Katanya dia memilih bertindak begitu kerana melihat pengeluaran KWSP adalah cara untuk dia menyelesaikan hutang yang ditanggung.
Apabila melihat sikap kerajaan menolak cadangan membenarkan pengeluaran bersasar KWSP, katanya, dia mula memikirkan cara untuk menunjukkan bahawa wang itu memang diperlukan.
"Sebenarnya apa yang saya hadapi sekarang, maksudnya saya berjalan terus memang susah... memang susah. Itulah kehidupan saya sebenarnya.
"Saya nak membuktikan, nak menunjukkan kepada pemimpin kita, memang orang yang macam saya ni betul-betul memerlukan sangat (wang KWSP).
"Bukan sekadar (macam) NGO-NGO dan pemimpin-pimpin yang menyokong ini je. Mungkin mereka sekadar cakap sahaja... daripada mulut.
"Tapi ni saya buat secara perbuatan (untuk) bagi pemimpin kita buka mata," katanya.