Akaun Instagram Mogok Doktor Malaysia tidak lagi boleh diakses pada hari kedua mogok yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari itu.
Masih tidak jelas sama ada akaun media sosial itu telah dinyahaktifkan atau sebaliknya.
Sebelum ini, akaun tersebut digunakan sebagai platform utama untuk menyebarkan maklumat tentang mogok.
The Star melaporkan bahawa kumpulan berkenaan sebelum ini mendakwa bahawa mogok berkenaan "berjaya mencapai matlamatnya".
Ini di sebalik pelbagai laporan berita semalam dan hari ini yang mendakwa sebaliknya.
Jurucakap Mogok Doktor Malaysia, yang hanya dikenali sebagai "Dr Jamal" dalam laporan The Star mendakwa bahawa sekitar 3000 doktor telah menyertai protes itu.
Kumpulan itu pada asalnya mendakwa pada Isnin bahawa 10,000 hingga 20,000 doktor kontrak akan mengambil bahagian dalam mogok tersebut - yang berpotensi melumpuhkan sistem penjagaan kesihatan awam.
Jumlah 3,000 itu juga jauh lebih rendah daripada anggaran awal bahawa 8,000 doktor akan melancarkan mogok berdasarkan tinjauan yang kononnya mereka lakukan pada Februari.
Laporan media mendapati hospital awam di seluruh negara tidak terjejas untuk semalam dan hari ini, dengan operasi dilaporkan berjalan lancar.
Doktor-doktor yang dihubungi oleh Malaysiakini mendedahkan bahawa mereka tidak terbabit dengan tindakan mogok tersebut kerana tidak tahu siapa sebenar penganjurnya.
Jamal, bagaimanapun, mengaitkan kesan minimum mogok itu ke atas sistem penjagaan kesihatan awam dengan jumlah pesakit yang rendah semalam. Dakwanya, bilangan kakitangan adalah mencukupi tanpa doktor kontrak bekerja pada hari itu.
"Kadar pesakit berkurangan sebanyak 30 peratus secara keseluruhan, tetapi pada masa yang sama terdapat doktor kontrak yang mengambil cuti perubatan atau kecemasan untuk mogok; beberapa pegawai perubatan terpaksa menjalankan kerja yang sepatutnya dilakukan oleh mereka itu," katanya yang dipetik oleh akhbar itu.
"Jamal" adalah satu-satunya nama yang dikaitkan dengan kumpulan Mogok Doktor Malaysia, dan tidak jelas jika ada kakitangan lain yang terlibat.
Semalam ketika cuba menghubungi kumpulan itu, Mogok Doktor Malaysia enggan menjawab pertanyaan Malaysiakini dengan alasan bahawa portal berita ini dimiliki oleh “DAP atau parti berkaitan (politik) Pakatan Harapan”.
Ini menimbulkan spekulasi dalam talian mengenai kemungkinan parti-parti gabungan Perikatan Nasional adalah di sebalik kumpulan itu.
Bagaimanapun, seorang ahli jawatankuasa kesihatan PN menafikan perkara berkenaan dengan berkata mereka sekadar menyokong Mogok Doktor Malaysia.