malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Surat tuntutan: Peguam Anwar mohon masa lanjutan, Mahathir setuju
Diterbitkan:  Apr 4, 2023 5:23 PM
Dikemaskini: 9:32 AM
ADS

Dr Mahathir Mohamad bersetuju memberi masa lanjutan sehingga Isnin minggu depan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menjawab notis tuntutan berhubung dakwaan dirinya mengumpul kekayaan peribadi semasa berkuasa .

Dalam satu kenyataan, peguam Mahathir menerusi Tetuan Rafique berkata bekas perdana menteri itu tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan untuk lanjutan masa daripada peguam Anwar, iaitu Tetuan Thomas Phillip yang memohon hingga 17 April untuk menjawab.

"Anak guam kami tiada halangan kepada permintaan itu… anak guam kami juga merizabkan segala haknya dalam tuntutan ini," kata firma guaman itu.

Sebelum ini, surat tuntutan Mahathir, yang bertarikh 27 Mac, memberi Anwar sehingga semalam untuk menjawab.

Mahathir merujuk kepada kenyataan Anwar pada Kongres Nasional Khas PKR 2023, pada 18 Mac lau yang didakwa memfitnahnya.

Dia berkata walaupun Anwar tidak menyebut namanya dalam ucapannya itu tetapi berdasarkan laporan media, orang ramai faham tuduhan itu dilemparkan kepada dirinya..

Bekas perdana menteri itu berkata, tuduhan yang dilemparkan terhadap dirinya iaitu dia mempunyai berbilion ringgit dan mengagihkan untuk keluarga, anak dan sebagainya serta dia seorang penyangak.

Mahathir berkata, ini memberi gambaran yang amat buruk terhadapnya dan adalah satu fitnah, melainkan Anwar boleh menunjukkan bukti bahawa dia (Mahathir) sudah mendapat berbilion ringgit dan melarikan duit itu ke luar negara serta tidak membayar cukai.

Jelasnya, walaupun pernah melemparkan tuduhan hampir sama sebelum ini (sebelum menjadi perdana menteri) tetapi Anwar kini adalah perdana menteri yang mesti bertanggungjawab dan tidak boleh membuat tuduhan dengan begitu saja tanpa bukti jelas.

Mahathir berkata, dia mahu Anwar menarik balik fitnah yang dilemparkan itu atau menunjukkan bukti dan jika tidak dijawab maka tindakan undang-undang akan diambil.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen