malaysiakini logo
story-image
ADS

PARLIMEN | Ahli parlimen PN pagi ini keluar beramai-ramai dari Dewan Rakyat sebagai tanda protes mereka apabila Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau tidak membenarkan usul pengeluaran bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibahaskan hari ini.

Awalnya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamil (PN-Machang) berdiri pada awal persidangan sesi membacakan aturan mesyuarat yang memaklumkan bahawa usulnya membahaskan isu tersebut ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat.

Pun begitu dia menggesa agar usul tersebut tetap diizinkan untuk dibahaskan kerana ia melibatkan kepentingan rakyat.

“Tuan yang dipertua, saya telah menerima jawapan balas daripada pejabat Tuan Dipertua Dewan Rakyat berhubung usul yang saya hantar pada Jumaat lalu.

"Malangnya, pada pagi ini saya lihat usul ini telah ditolak dengan alasan bahawasanya timbalan menteri dan menteri kewangan telah menjelaskan berkenaan pengeluaran bersasar KWSP ini.

“Tapi saya dapat banyak pandangan dan komplen keresahan daripada rakyat bahawasanya penjelasan daripada kedua-duanya tak memuaskan mereka, jadi izinkanlah untuk kami bahaskan perkara ini hari ini… berbaki dua hari lagi (sidang Dewan Rakyat), sebelum kita tamat sesi sidang parlimen hari ini.

"Bolehkah ia dipertimbangkan kepentingan orang ramai yang perlukan pengeluaran KWSP bersasar pada kali ini? Mohon pertimbangkan,” katanya.

Lau bagaimanapun bertegas dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul dan meminta Wan Ahmad Fayhsal menghantar usul berkenaan sekali lagi sekiranya tidak berpuas hati.

Hak untuk keluar

Didesak berkali-kali oleh ahli parlimen lain termasuk Awang Hashim (PN-Pendang) dan Shahidan Kassim (PN-Arau), Lau tetap bertegas dengan keputusan tersebut.

Ia mendorong ahli parlimen PN mengancam untuk meninggalkan dewan sebagai tanda protes.

"Kalau begitu caranya, saya fikir kami di sini mahu juga perkara ini dibahaskan. Kalau tak mahu dibahaskan kami boleh keluar untuk menunjukkan bahawa kami protes dalam perkara ini," kata ketua pembangkang, Hamzah Zainudin.

"Silakan," kata Lau.

Ahli-ahli parlimen PN yang berada di dalam dewan ketika itu masing-masing berdiri dan bersiap sedia untuk keluar.

Antaranya Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah), Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota), Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) dan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas).

Hamzah Zainudin

Keadaan di Dewan Rakyat kemudian sedikit kecoh dengan pada masa yang sama Awang mendesak supaya usul itu dibahaskan.

Lau yang kelihatan berang dengan situasi itu, kerana didesak untuk membahaskan usul berkenaan, walaupun telah memberikan penjelasannya berulang kali akhirnya tidak dapat menahan kesabarannya dengan meninggikan suara terhadap ahli-ahli parlimen pembangkang tersebut.

“Saya sudah kata, saya tahu (sudah hantar usul), tapi ini keputusan speaker. Macam mana saya nak buat ruling lagi!,” tegasnya dengan nada yang tinggi dan memberitahu dia enggan membazirkan masa yang sedang suntuk.

Alice Lau

Tidak berapa lama selepas itu, dewan kembali tenang dan Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim meneruskan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Kewangan.

Ahli parlimen pembangkang yang meninggalkan dewan kemudian mengadakan sidang media di lobi parlimen sebelum masuk semuka kira-kira 30 minit selepas itu.

Namun beberapa minit kemudian, RSN Rayer (PH-Jelutong) berdiri dan membacakan peraturan dewan 36(12) berhubung kenyataan yang mengelirukan dewan berhubung insiden berkenaan.

Tanpa mahu menuduh, katanya, dia mahu bertanya jika tindakan ahli parlimen pembangan meninggalkan dewan beberapa ketika sebelum itu dan kembali masuk hanya sekadar "sandiwara".

Pun begitu Lau enggan melayan soalan tersebut sebaliknya mengarahkan Rayer agar duduk dan tidak membuang masa persidangan.

"YB Jelutong, itu hak mereka. Sila duduk! Cukup, cukup. Jangan bazir masa lagi, itu hak mereka mahu keluar masuk," katanya.

Sementara itu dalam sidang media ahli parlimen pembangkang, Takiyuddin berkata PN mungkin mengadakan jelajah ke seluruh negara untuk menjelaskan isu pengeluaran KWSP serta keengganan kerajaan membenarkannya.

“Sudah tentu kita akan jelaskan. Nak bagitau kepada rakyat - pertama, kerajaan hari ini buat satu dasar yang bercanggah dengan undang-undang, tak sah dari segi undang-undang. Akta KWSP tak dibenarkan (bahas).

“Nak minta penjelasan, siapa yang nasihatkan menteri kewangan atau tak dinasihatkan, or wrongly advised (atau dinasihatkan secara salah). Law minsiter (Menteri undang-undang) atau apa?

“ (Ini) Bukan perkara yang boleh main-main. Mungkin (kita) akan buat roadshow untuk beritahu ke seluruh negara, ini dasar kerajaan madani yang ada,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen